PKP platform terbaik pengukuhan aset belia

Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa dan menyoal orang awam yang melalui sebuah sekatan jalan raya sekitar ibu kota. Foto: Bernama
Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa dan menyoal orang awam yang melalui sebuah sekatan jalan raya sekitar ibu kota. Foto: Bernama
A
A
A

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa 18 Mac 2020 yang lalu, antara golongan yang terjejas dalam konteks sosial, ekonomi dan norma kehidupan selain dari golongan kanak-kanak, dewasa dan warga emas yang lain dan tidak bukan adalah golongan belia.

Pandemik Covid-19 bukan hanya berlaku di Malaysia malah di banyak negara lain di seluruh dunia turut terjejas akibat penularan virus yang boleh membawa maut. Seperti yang diperincikan dalam Dasar Belia Malaysia 2015, belia didefinisikan sebagai individu yang berumur 15 sehingga 30 tahun yang turut dipecahkan kepada tiga kumpulan utama iaitu belia awal (15 hingga 18 tahun), belia pertengahan (19 hingga 24 tahun) dan belia akhir (25 hingga 30 tahun).

Jika dilihat daripada komposisi belia Malaysia yang diperoleh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2019, jumlah penduduk yang berumur antara 15 hingga 30 tahun adalah dianggarkan seramai 9.2 juta yang mewakili 27.8 peratus daripada keseluruhan 32.6 juta penduduk Malaysia. Fakta yang menarik tentang belia Malaysia, belia lelaki mendominasi melebihi separuh daripada jumlah belia Malaysia iaitu 51.6 peratus (4.7 juta) berbanding belia wanita seramai 48.4 peratus 4.4 juta.

Semestinya golongan belia merupakan kelompok yang sangat terkesan disebalik tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dari sudut sosial, golongan belia terhad untuk melakukan aktiviti di luar rumah seperti melakukan aktiviti bersama keluarga di luar, berjumpa dan berbual bersama rakan-rakan, ke sekolah atau ke kuliah, keluar ke tempat yang menarik di hujung minggu, melaksanakan hobi atau melakukan aktiviti kecergasan fizikal di luar rumah seperti kebiasaan.

Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 menunjukkan golongan belia yang berumur 15 hingga 30 tahun merupakan komposisi terbesar kecenderungan melakukan aktiviti fizikal dan sukan. Namun begitu, persoalannya bagaimana golongan belia perlu mengubah rutin kendiri yang menjadi kebiasaan kepada rutin baharu yang perlu dibiasakan?

Ramai yang berkongsi tips kecergasan di internet dan media sosial dalam bagaimana untuk menjadikan seseorang kekal aktif kerana mengganggap pendekataan medium berkenaan amat dekat dengan golongan belia.

Tidak dapat dinafikan, berdasarkan dapatan Kajian Outcome Indeks Belia Malaysia 2017 mendapati kecenderungan belia kepada penggunaan internet adalah tinggi dan golongan belia didapati mampu menghabiskan masa antara 7 hingga ke 8 jam sehari secara purata dengan internet dan media sosial. Tidak dinafikan golongan belia perlu untuk menjadi aktif bagi memastikan mereka sihat.

Namun, untuk memastikan golongan belia mampu mengharungi tempoh PKP ini, bukan semata-mata golongan belia perlu aktif, malah golongan belia perlu kekal untuk menjadi positif. Kunci kekuatan golongan belia untuk menyerlahkan potensi diri adalah menggunakan sepenuhnya aset iaitu kelebihan yang dimiliki oleh golongan belia.

Artikel Berkaitan:

Untuk menjadi belia yang positif, terdapat dua aset utama yang golongan belia boleh gunakan untuk menyerlahkan diri mereka iaitu aset dalaman dan aset ekologi (aset luaran).

Kedua-dua aset tersebut diperlukan dalam membentuk belia positif yang mana golongan belia yang memiliki ciri 8C iaitu penyayang (caring), cekap (competent), berperwatakan (character), berkeyakinan (confident), kerjasama (cooperation), bertimbang rasa (considerate), kompetitif (competitive) dan sumbangan (contribution) dan semuanya perlu dicapai bagi melengkapkan belia.

Tempoh PKP yang panjang dan telah memasuki ke fasa ketiga pelaksanaan ini memberi ruang kepada golongan belia untuk melakukan perkara yang tidak sempat untuk mereka lakukan sebelum ini dek kerana kekangan masa kerana tuntutan tanggungjawab mereka sebagai pelajar, komitmen yang tinggi sebagai pekerja dan kesibukan dalam menguruskan perniagaan dan sebagainya.

Golongan belia boleh melakukan sesuatu perkara yang bermanfaat di rumah yang tidak pernah terfikir kemampuan untuk melakukannya seperti sebelum ini. Golongan belia boleh menggunakan waktu yang terluang ini untuk mendalami ilmu agama, membaca Al Quran, membaca sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan maklumat umum samada melalui buku atau bahan bacaan yang diperolehi dari internet. Bacalah apa sahaja yang bermanfaat, asalkan golongan belia membaca.

Melalui pembacaan akan mengubah cara kita berfikir, merasai hikmah dari sesuatu tindakan dan secara tidak langsung ilmu yang diperolehi dari pembacaan akan mengangkat tamadun dan darjat sesebuah bangsa.

Pada waktu terluang ini juga, baik golongan belia yang berada di rumah atau yang berada di kolej kediaman institusi pengajian tinggi masing-masing boleh mengukuhkan aset dalaman yang dimiliki dengan mengasah kemahiran komunikasi. Tambah nilai dari segi kemahiran pengucapan dan keyakinan diri.

Pada masa yang sama, mantapkan kemahiran golongan belia dengan aplikasi terhadap perisian teknologi masa kini seperti Microsoft Word, Excel, Power Point, perisian untuk merekabentuk seperti Adobe Photoshop, Adobe Illustrator, perisian video, aplikasi maya dan sebagainya yang mana kemahiran ini amat diperlukan pada masa kini, baik dalam sektor pekerjaan dan pendidikan.

Pengukuhan aset dalaman penting sebagai persediaan golongan belia untuk membina aset luaran dalam menempuh fasa pasca pandemil Covid-19 iaitu selepas tamatnya tempoh PKP yang pastinya merupakan cabaran kepada golongan belia baik dari sudut ekonomi, sosial, teknologi dan politik.

Golongan belia boleh menggunakan kreativiti dalam melengkapkan kesempurnaan sepanjang PKP. Bukan suasana yang mengawal golongan belia, tetapi golongan belia yang mengawal suasana tersebut.

**Dr. Mohd Mursyid Arshad merupakan Pensyarah Kanan (Pembangunan Belia) Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia m_mursyid @upm.edu.my