Polis buru 50 suspek pelbagai kes jenayah

Fazlisyam menunjukkan sebahagian gambar suspek yang dikesan bagi membantu siasatan pelbagai kes jenayah di negeri ini sepanjang tahun 2018.
Fazlisyam menunjukkan sebahagian gambar suspek yang dikesan bagi membantu siasatan pelbagai kes jenayah di negeri ini sepanjang tahun 2018.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu sedang memburu 50 suspek yang dikesan terlibat dengan pelbagai kes jenayah sepanjang tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kesemua suspek yang diburu merupakan warga tempatan berusia antara 17 hingga 59 tahun.

"Seramai 35 daripada suspek dikehendaki bagi kes mendatangkan kecederaan termasuk jenayah keganasan rumah tangga manakala 15 lagi membabitkan jenayah curi harta benda dan motosikal yang menjadi penyumbang utama kadar jenayah di negeri ini.

"Gambar suspek telah di muat naik di laman sosial Facebook Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis terdekat untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini hari ini.

Sementara itu, Fazlisyam berkata, kadar jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 668 kes sepanjang tahun lalu berbanding 2017.

"Kejayaan itu hasil usaha keras dan tindakan agresif pihak polis dalam menjalankan aktiviti pencegahan terutama terhadap kumpulan yang kerap melakukan jenayah.

"Sebanyak 3,020 kertas siasatan dibuka pada 2018 berbanding 3,688 tahun sebelumnya.

"Antara faktor penurunan ialah kerana kita berjaya menumpaskan tujuh kumpulan penjenayah yang menjadi dalang dalam banyak kes pecah rumah, curi harta benda dan motosikal di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata 66.2 peratus daripada 3,688 kertas siasatan yang dibuka pada 2018 telah berjaya diselesaikan dan antara yang tertinggi di kalangan kontinjen seluruh negara.