Sumbang mahram: Bapa dipenjara 20 tahun

Tertuduh dibawa polis selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen Segamat.
Tertuduh dibawa polis selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen Segamat.
A
A
A

SEGAMAT - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun berserta tujuh sebatan terhadap seorang bapa selepas didapati bersalah merogol anak perempuannya yang juga orang kurang upaya (OKU), tahun lalu.

Tertuduh berusia 51 tahun yang sebelum ini mengaku tidak bersalah telah menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Hakim, Rashidah Roslee.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menoda remaja perempuan berusia 13 tahun (ketika kejadian) di rumahnya di Batu Anam di sini, antara Januari 2018 hingga 10 Mac 2018.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala pertuduhan kedua pula, tertuduh turut mengaku bersalah melakukan amalan seksual fizikal ke atas mangsa di rumah sama, pada kira-kira jam 6.45 pagi, 11 Mac 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan tujuh sebatan bagi pertuduhan pertama dan 10 tahun penjara bagi pertuduhan kedua, namun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkapan iaitu 20 Mac 2018.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suriani Ujang, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes, perbuatan suspek itu terdedah selepas seorang lagi anak perempuannya yang juga kakak mangsa menerima laporan daripada guru mendakwa mangsa yang merupakan pelajar pendidikan khas tidak hadir ke sekolah.

Mangsa dikatakan tinggal bersama bapanya dan seorang lagi adik lelaki berusia 10 tahun selepas ibu mereka meninggal dunia.