17 jemaah tabligh Malaysia ditahan di India

Didakwa salah guna visa, Wisma Putra cuba dapatkan cerita sebenar


kamarudin
kamarudin
A
A
A
Wisma Putra kini sedang berusaha mengenal pasti permasalahan dan mendapatkan cerita sebenar di sebalik penahanan 17 jemaah tabligh warganegara Malaysia oleh pihak berkuasa India ekoran tindakan mereka yang dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan visa.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kementerian amat mengambil berat dan akan memastikan mereka yang ditahan ini berada dalam keadaan baik.

“Dalam konteks penyalahgunaan visa, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi melaporkan bahawa 17 rakyat Malaysia telah ditahan di bawah sekurang-kurangnya tiga akta iaitu Akta Pengurusan Bencana Negara 2005, Akta Orang Asing 1946 dan Kanun Keseksaan India,” katanya pada sidang media khas perkembangan terkini rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara di sini semalam.

Beliau juga berharap tidak ada mana-mana pihak mempolitikkan isu itu apatah lagi mengaitkannya dengan isu keagamaan.

“Ini kerana ia bukan sahaja akan menimbulkan pelbagai salah faham dalam kalangan masyarakat tetapi juga boleh merumitkan rundingan yang sedang Wisma Putra usahakan dengan Kerajaan India,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan, secara keseluruhannya seramai 191 jemaah tabligh warganegara Malaysia sedang dikuarantin di India.

Katanya, Wisma Putra menerusi perwakilan-perwakilan Malaysia di India sentiasa memantau rapat isu jemaah tabligh rakyat Malaysia yang sedang dikuarantin di hospital atau pusat-pusat kua­rantin khas di beberapa wilayah di India.

“Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah menghulurkan bantuan konsular termasuklah dengan memberikan pek penjagaan diri kepada sebahagian daripada jemaah tabligh warganegara Malaysia yang sedang dikuarantin,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kerajaan India masih belum memberikan makluman rasmi berhubung status kebanyakan rakyat Malaysia yang lain yang sedang dikuarantin iaitu maklumat mengenai tempoh masa proses kuarantin dan tindakan susulan yang boleh diambil selepas mereka selesai menjalani proses kuarantin.
Artikel Berkaitan:


Mengenai usaha untuk memudah cara urusan kepula­ngan rakyat Malaysia yang terkandas di India, Wisma Putra masih lagi menunggu kelulusan satu penerbangan untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari Chennai.

“Penerbangan tersebut pada asalnya telah dijadualkan pada 14 April. Justeru, Wisma Putra dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi akan terus berunding dengan kerajaan India demi membolehkan penerbangan ini dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai juga telah menghulurkan bantuan konsular sewajarnya termasuklah mendapatkan hotel serta menyediakan makanan dan minuman kepada semua yang terkesan ekoran situasi ini,” katanya.

Setakat semalam, kerajaan telah berjaya membawa pulang seramai 2,873 rakyat Malaysia yang terkandas di India menggunakan 21 penerbangan. - Bernama

KUALA LUMPUR