MBN kecewa bantuan pentadbiran dipotong

Aswannudin (kanan) ketika menjadi tetamu Sinar Live, hari ini.
Aswannudin (kanan) ketika menjadi tetamu Sinar Live, hari ini.
A
A
A

IPOH - Pengurangan bantuan pentadbiran oleh kerajaan kepada Majlis Belia Negeri (MBN) dan Majlis Belia Daerah (MBD) di seluruh negara menjejaskan operasi dan perancangan untuk belia.

Presiden MBN Perak, Aswannudin Hariffudin berkata, pihaknya mengakui ramai pemimpin belia mengeluh untuk menjalankan program selepas geran tahunan dipotong lebih 80 peratus.

Katanya, sebelum ini setiap MBN menerima bantuan pentadbiran daripada Kementerian Belia dan Sukan sebanyak RM80,000 setahun tetapi pada tahun ini hanya RM5,000 setahun.

"Kita amat sedih bila Kementerian Belia dan Sukan beri bantuan pentadbiran hanya RM5,000 yang tak sampai 10 peratus daripada bantuan sebelum ini. Ada dalam kalangan MBN negeri lain yang sekarang ini terpaksa keluar daripada pejabat, terpaksa memberhentikan kakitangan kerana tak cukup duit.

"Kita faham situasi negara yang sedang menyusun semula kewangan dan sebagainya tetapi hal belia ini tidak seharusnya dipotong sebanyak itu," katanya ketika menjadi tetamu Sinar Live di sini, hari ini.

Beliau berkata, MBN Perak juga berhadapan tekanan apabila pejabatnya yang menyewa Bangunan Jabatan Belia dan Sukan Perak berdepan kenaikan kadar sewa pada tahun ini.

Katanya, sebelum ini tidak ada bayaran dikenakan namun pada tahun lalu kadar sewa sebanyak RM1,200 dikenakan manakala pada tahun ini pula jumlah sewaan itu dinaikkan kepada RM1,700.

"Jadi sebenarnya, cabaran untuk menggerakkan belia ini bukanlah sesuatu yang indah seperti mana yang digambarkan sesetengah pihak.

Artikel Berkaitan:

"Cabaran kita bukan sahaja nak menggerakkan belia-belia itu, tetapi kita di MBN ini pun sengsara juga dengan keadaan semasa ini.

Dalam pada itu, Aswannudin berkata, cabaran itu bagaimanapun tidak menjadi penghalang untuk MBN Perak dan badan-badan gabungan merangka pelbagai strategi untuk memperkasa belia di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menyuarakan pandangan kepada kerajaan negeri untuk memartabatkan belia di negeri ini.