Jika tahu bahaya Covid-19 mereka tidak datang: Farouque

Mohammed Farouque menyerahkan bantuan barang keperluan kepada etnik Rohingya baru-baru ini.
Mohammed Farouque menyerahkan bantuan barang keperluan kepada etnik Rohingya baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelarian Rohingya yang berhasrat untuk datang ke negara ini tidak mengetahui tentang bahaya wabak koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini.

Presiden Forum Pembangunan Belia Rohingya, Mohammed Farouque Lal Mohammed berkata, etnik itu telah keluar daripada Myanmar sejak bulan Februari lalu sebelum Covid-19 mula merebak.

"Mereka tidak mendapat informasi yang lengkap mengenai bahaya Covid-19 dan jika mereka tahu tentang perkara ini, saya yakin mereka tidak meneruskan hasrat mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Hari ini, media antarabangsa melaporkan seramai 23 etnik tersebut ditemui mati kerana kelaparan oleh pihak berkuasa Bangladesh selepas bot yang mereka naiki menuju ke Malaysia hanyut sejak seminggu lalu.

Seramai 396 orang lagi terselamat daripada kejadian tersebut dan dilaporkan mereka sudah berada di lautan sejak dua bulan lalu kerana usaha untuk memasuki Malaysia sebanyak tiga kali gagal.

Mohammed Farouque berkata, menerusi jaringan pertubuhan bukan kerajaan yang turut terdapat di Myanmar, Bangladesh dan United Kingdom itu, mereka telah memberikan nasihat kepada semua etnik Rohingya agar tidak keluar dari tempat masing-masing kerana Covid-19.

"Mereka turut diberikan penutup muka dan juga cecair pembasmi kuman bagi mengelak wabak ini daripada menjangkiti masyarakat ini," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 130,000 etnik Rohingya memberikan kerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi memastikan wabak tersebut tidak menular dalam kalangan masyarakat itu.

Artikel Berkaitan:

"Cuma masalah sekarang ialah kebanyakan masyarakat Rohingya bekerja dengan pendapatan secara harian dan kini mengalami kesukaran kerana tidak mampu membeli makanan serta kehilangan tempat tinggal kerana tidak dapat membayar duit sewa rumah," ujarnya.

Sehubungan itu, Mohammed Farouque berharap agar pihak yang prihatin dengan nasib masyarakat tersebut dapat menghulurkan bantuan bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan.