Siti Nurhaliza sumbang 500 PPE kepada IJN, PDN

Saiful menunjukkan PPE yang dijahit anak yatim dan asnaf RPWP kepada Siti Nurhaliza pada penyerahan sumbangan itu di IJN semalam.
Saiful menunjukkan PPE yang dijahit anak yatim dan asnaf RPWP kepada Siti Nurhaliza pada penyerahan sumbangan itu di IJN semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengambil inisiatif membantu petugas barisan hadapan dengan menyumbangkan sebanyak 500 unit peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Institut Jantung Negara (IJN) dan Pusat Darah Negara (PDN).

Siti Nurhaliza berkata, apa yang istimewa PPE yang disumbangkan beliau dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (atau lebih dikenali sebagai Datuk K) itu dijahit sendiri anak-anak yatim dan asnaf Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) di bawah Projek Pelangi.

“PPE ini hasil kerja keras dan kesungguhan anak yatim dan asnaf RPWP. Mereka sempat menyiapkan permintaan saya untuk 500 helai PPE dalam masa tak sampai seminggu.

“Alhamdulillah, semoga ALLAH SWT berikan kita semangat untuk terus berjuang dan membantu frontliner kita,” katanya yang mesra disapa sebagai Tok Ti menerusi laman Instagramnya, ctdk.

Rakaman video penyerahan sumbangan itu turut dikongsi Siti Nurhaliza dan Pengasas Bersama RPWP, Saiful Nang di media sosial hari ini.

Bercerita lanjut, Siti Nurhaliza berkata, ketika di IJN, beliau juga berkesempatan melihat sendiri kakitangan institut itu menjahit sendiri keperluan mereka seperti topeng muka dan tudung PPE.

“Saya pun jahit sendiri topeng muka saya untuk bawa pulang sebagai kenang-kenangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saiful menunjukkan PPE yang dijahit anak yatim dan asnaf RPWP kepada Siti Nurhaliza pada penyerahan sumbangan itu di IJN semalam.
Saiful menunjukkan PPE yang dijahit anak yatim dan asnaf RPWP kepada Siti Nurhaliza pada penyerahan sumbangan itu di IJN semalam.

Dalam pada itu, menurut pelantun lagu Anta Permana berkenaan, beliau bersama pasukannya melalui projek Dana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Siti Nurhaliza juga sedang berusaha untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan pertolongan.

Sementara itu, Saiful berkata, Projek Pelangi menjadi bukti bagaimana rakyat Malaysia ketika ini bersatu hati untuk sama-sama memerangi dan menghentikan rantaian penularan pandemik Covid-19.

“Tanpa mengira fahaman politik, bangsa, sama ada seseorang itu terkenal atau tak terkenal, miskin ataupun kaya, semuanya sekali menyumbang dan memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia untuk membantu frontliner kita.

“Sekarang kita telah selamat hantar PPE untuk IJN yang ditaja Datuk Siti dan Datuk K. Terima kasih atas keprihatinan memberikan sumbangan ini,” katanya.

Katanya, semua rakyat yang patuh arahan dengan kekal berada di rumah sepanjang tempoh PKP yang telah masuk tiga minggu sekarang juga boleh disifatkan sebagai frontliner negara.