Tarif air naik tapi tidak bebankan rakyat, kata MB

Dr Ahmad Samsuri (tengah) bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan selepas Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dr Ahmad Samsuri (tengah) bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan selepas Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu tidak menolak kemungkinan menaikkan tarif air selepas 22 tahun kadar itu tidak dibuat semakan semula.

Bagaimanapun Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi jaminan, kadar baharu itu tidak akan membebankan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan telah diberi taklimat oleh wakil Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli tentang keperluan melaksanakan tarif air baharu dan perkara itu sedang dipertimbangkan dengan lebih mendalam.

“Saya percaya akan berlaku sedikit kenaikan tapi kita mengkaji seluruh segmen masyarakat tentang penggunaan air dan tentu ada kategori-kategori lain seperti industri yang memerlukan pertimbangan untuk kenaikan.

“Saya rasa kita akan capai keputusan itu, setelah kita melakukan semakan secara lebih terperinci dan InsyaALLAH sebelum (akhir) Januari ini kita akan buat keputusan dan nyatakan kepada kementerian berkenaan.

“Objektif utama kerajaan adalah supaya kesan (kenaikan) kepada rakyat berpendapatan rendah adalah sangat minima, ini adalah komitmen kita,” katanya selepas Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Negeri dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, Terengganu merupakan antara tiga negeri yang kadar tarif air tidak pernah disemak sejak lebih 20 tahun lalu sedangkan ada sesetengah negeri sentiasa berbuat demikian pada setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, semakan kadar baharu itu dilihat ada keperluannya dengan mengambil kira peningkatan operasi, perubahan inflasi, perubahan kadar pelbagai perkara dari segi komuniti bisnes dan sebagainya.

“Tapi kesan kepada rakyat yang memerlukan adalah sangat-sangat minimum,” katanya.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sebelum ini memaklumkan kadar tarif air mungkin akan dinaikkan secara berperingkat tahun ini selaras dengan usaha kerajaan untuk menstruktur semula industri perkhidmatan bekalan air di negara ini.

Menterinya, Dr A Xavier Jayakumar, berkata, kenaikan tarif sumber asli terbabit perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan pengguna untuk mendapatkan air berkualiti serta menjamin industri itu dari sudut perkhidmatan.