X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu pelancong rakyat Malaysia maut akibat Covid-19 di Thailand

Thailand telah mengisytiharkan perintah darurat bermula tengah malam 26 Mac hingga 30 April bagi mengekang pandemik Covid-19 di negara itu. Foto: Xinhua
A
A

BANGKOK - Seorang pemandu pelancong warga Malaysia adalah antara tiga kematian akibat Covid-19 di Thailand menjadikan jumlah kematian kumulatif di negara ini 46 orang hari ini.

Lelaki berumur 55 tahun dari Kelantan itu meninggal dunia pada 14 April di sebuah hospital di Bangkok.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, lelaki berkenaan mempunyai sejarah perjalanan ke Georgia, sebuah negeri di bawah bekas Soviet dari 13 hingga 19 Mac dan seorang daripada kumpulan pelancong yang diikutinya itu dijangkiti Covid-19.

Lelaki berkenaan jatuh sakit pada 21 Mac dan mendapatkan rawatan di hospital pada 29 Mac serta kemudian disahkan positif Covid-19.

“Namun keadaan lelaki berkenaan didapati semakin merosot selepas dua minggu,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Lelaki berkenaan meninggalkan seorang isteri yang juga disahkan positif Covid-19 manakala mayatnya di Bangkok semalam.

Thaweesilp menambah kata, dua lagi kematian yang dicatatkan semalam di Thailand melibatkan seorang wanita tempatan berumur 35 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun dan kedua-duanya mempunyai masalah kesihatan.

Sementara itu, Thaweesilp berkata, Thailand melaporkan 29 kes baharu Covid-19 pada Rabu dan jumlah kes kumulatif ialah 2,672 kes dan sehingga hari ini 1,593 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

"Kini kita melihat orang muda meninggal dunia akibat virus ini iaitu berumur bawah 60 tahun. Mereka mengalami sakit tenat Covid-19 pada Mac dan meninggal bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, perintah berkurung pada waktu malam selama enam jam dari 10 malam hingga 4.00 pagi dilaksanakan sejak 3 April adalah antara penyumbang kepada penurunan kes baharu Covid-19 di negara ini.

“Bagaimanapun, ini bukanlah masa untuk melonggarkan sebarang langkah atau tindakan kerana ia boleh membawa kepada peningkatan jumlah kes baharu.

“Sesetengah negara yang bertindak cepat menamatkan langkah-langkah dan halangan menyaksikan peningkatan kes baharu. Oleh itu, kami akan mengambil langkah-langkah perlu selepas meneliti segala pertimbangan rapi,” katanya dan menambah bahawa CCSA akan menilai keadaan Covid-19 sekali lagi pada akhir bulan ini.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!