X

Kindly register in order to view this article
!

Warga emas digesa segera dapatkan rawatan: Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA- Warga emas digesa mendapatkan rawatan segera walaupun hanya mempunyai gejala ringan seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan banyak kematian akibat koronavirus (Covid-19) di kalangan pesakit berumur 60 tahun ke atas.

"Warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan Covid-19 kerana faktor umur serta juga penyakit kronik," katanya.

Menurutnya, statistik kes kematian Covid-19 yang telah direkod setakat ini menunjukkan bahawa 62.6 peratus daripada kes kematian adalah berumur 60 tahun ke atas.

"Jika dilihat daripada faktor komorbiditi, didapati 80.7 peratus kes kematian menghidap penyakit kronik misalnya penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain penyakit," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, ahli keluarga misalnya anak atau penjaga yang tinggal bersama warga emas perlu memastikan tanggungjawab mereka.

"Perlu pastikan warga emas mendapat rawatan segera sekiranya tidak sihat, bekalan ubat mencukupi dan mematuhi temu janji rawatan selain mengamalkan jarak sosial selamat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus