Covid-19: 119 pulih, satu kematian hari ini

Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 119 kes pulih daripada jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang dari wad hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 2,766 kes iaitu bersamaan dengan 53.4 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Justeru, bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, setakat jam 12 tengah hari tadi, terdapat 110 kes baharu yang telah dilaporkan.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah sebanyak 5,182 kes," katanya.

Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,332 kes.

"Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini seramai 56 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah tersebut, 29 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Menurutnya, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, terdapat satu pertambahan kes kematian melibatkan warga emas berumur 66 tahun.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 adalah sebanyak 84 kes iaitu 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.