930 individu ditahan ingkar PKP di Kuala Lumpur

Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa dan menyoal orang awam yang melalui sebuah sekatan jalan raya sekitar ibu kota. - Foto Bernama
Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa dan menyoal orang awam yang melalui sebuah sekatan jalan raya sekitar ibu kota. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menahan seramai 930 individu termasuk 102 wanita sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu sehingga semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tangkapan itu turut melibatkan seramai 502 warga asing.

"Bagi PKP Fasa Satu, seramai 200 orang yang terdiri daripada 187 orang lelaki dan 13 orang wanita telah ditangkap. PKP Fasa Kedua pula melibatkan tangkapan seramai 656 orang yang terdiri daripada 572 orang lelaki dan 84 orang wanita, manakala bagi tangkapan PKP Fasa Ketiga setakat 15 April pula adalah seramai 74 orang yang terdiri daripada 69 orang lelaki dan 5 orang wanita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, tangkapan terhadap semua individu itu dilakukan kerana didapati mengingkari PKP iaitu tidak mengendahkan amaran dan nasihat yang diberikan selain gagal memberikan kerjasama kepada polis.

Mazlan Lazim
Mazlan Lazim

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 408 orang telah dituduh di mahkamah di atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, Peraturan 7 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 25(1) Peraturan Pendaftaran Negara dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan indeks jenayah di ibu negara mencatatkan penurunan bagi setiap fasa.

"Fasa Satu merekodkan penurunan 57.4 peratus dan bagi Fasa Kedua mencatatkan penurunan sebanyak 63 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, bagi memastikan PKP mencapai tujuan pelaksanaannya iaitu membendung penularan koronavirus (Covid-19), pihaknya terus mempergiatkan tindakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan bagi memastikan orang ramai mematuhinya.

"Polis Kuala Lumpur sentiasa berusaha keras untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang selamat (safe city). Kita akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu-individu yang didapati mengingkari arahan PKP.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.