Enam penerbangan bawa rakyat Malaysia tiba di KLIA

MUHAMMAD YAZID
MUHAMMAD YAZID
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak enam penerbangan masuk ke dalam negara direkodkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam bagi membawa rakyat Malaysia pulang.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, kesemua penerbangan itu adalah dari Singapura, Doha (Qatar), Hong Kong, Narita (Jepun), London (United Kingdom) dan Surabaya (Indonesia) membabitkan 668 penumpang.

"Saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 646 daripada penumpang adalah negatif Covid-19.

"Bagi 19 lagi penumpang dikesan bergejala telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Mengulas berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 15 April, Muhammad Yazid berkata, Polis Selangor telah menerima 2,080 laporan dengan 1,143 kertas siasatan dibuka.

Katanya, sebanyak 2,255 tangkapan telah dilaksanakan termasuk 872 warga asing.

Tambahnya, tiada lagi kompaun bagi pesalah PKP kerana mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang merebakkan jangkitan apa-apa penyakit.

"Antara tindakan lain adalah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah yang diisytiharkan, Seksyen 271 Kanun Keseksaan iaitu mengingkari perintah kuarantin serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya dikesan menyebar berita palsu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, di peringkat Kontinjen Selangor, sebanyak 102 lokasi sekatan jalan raya telah dilaksanakan serta 3,474 pemeriksaan 'snap check'.

Sehubungan itu, pihaknya mengingatkan orang ramai untuk mematuhi peraturan ditetapkan untuk membendung wabak Covid-19 dengan terus berada di rumah sepanjang tempoh PKP yang telah memasuki fasa ketiga ini.