Bekas timbalan KPN meninggal dunia

Tan Sri Abdul Rahman Ismail. Foto: Bernama
Tan Sri Abdul Rahman Ismail. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Ismail meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 90 tahun di Hospital Assunta di Petaling Jaya hari ini.

Anak ketiga kepada Allahyarham, Rosli, 60, berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.15 pagi selepas dimasukkan ke hospital itu sejak awal Disember lepas.

"Allahyarham sepatutnya dibenar pulang esok tetapi ALLAH lebih menyayanginya," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan seorang yang banyak berjasa kepada pasukan kerana walaupun telah bersara pada 1985, Allahyarham tetap meneruskan sumbangan dan kepakaran dalam menangani isu jenayah.

Mohamad Fuzi berkata Allahyarham juga sering memberikan pandangan serta berkongsi pengalaman kepada generasi muda di Bukit Aman selain pernah memberitahu supaya pegawai penyiasat didedahkan dengan latihan intensif bagi mendalami ilmu siasatan jenayah.

Dalam pada itu jenazah Allahyarham yang disembahyangkan di Masjid Bukit Aman selepas Zohor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara jam 4.45 petang ini.

Allahyarham Abdul Rahman dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Disember 1983 sehingga beliau bersara ketika usia 55 tahun pada Ogos 1985.

Sepanjang perkhidmatannya, Allahyarham pernah dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Ketua Polis Negeri dan beberapa jawatan penting dalam PDRM.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham yang berasal dari Alor Setar, Kedah meninggalkan seorang anak lelaki, tiga anak perempuan dan 12 orang cucu. - Bernama