'Penjenayah pun pakai CCTV'

Mohd Yusoff Mamat
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) komited membanteras gejala penyeludupan rokok dan minuman keras tidak sah, serta imigran yang berlaku di seluruh negara.

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, di Johor sendiri, jajaran pantai yang panjang diakui menjadi pilihan penyeludup berbuat sedemikian.

Menurutnya, oleh itu, PPM mahu membina, memperkemas dan meningkatkan bahagian risikannya bagi membanteras apa jua sindiket dan jenayah khususnya melalui jalan laut.

"Saya sudah kenal pasti beberapa perubahan dalam PPM yang boleh dilakukan dan akan membuat rombakan bagi meningkatkan bahagian risikan.

"Semestinya, untuk membanteras apa jua kegiatan jenayah, risikan dan maklumat termasuklah daripada orang awam amat penting. Rondaan pula, itu lebih kepada pencegahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Markas PPM Wilayah 2, Tampoi di sini hari ini.

Turut hadir, Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang.

Mohd Yusoff berkata, langkah memperkemaskan lagi Unit Risikan Marin (URM) itu perlu memandangkan penyeludup kini melakukan pelbagai modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, tambahan pula, PPM sudah mengenal pasti lokasi-lokasi yang menjadi pilihan penjenayah untuk mendarat di pantai meskipun ia sering berubah.

"Macam mana pun, ia masih dalam kawalan kita. Kita masih tahu dan masih jejak kawasan-kawasan pendaratan khususnya lokasi terpencil, kawasan kampung, hutan, tetapi dekat dengan jalan besar.

"Sebab itu, bahagian risikan perlu dipertingkatkan agar tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan dengan cepat," katanya.

Selain itu, katanya, PPM juga mengesan taktik atau modus operandi terbaharu dilakukan oleh penjenayah yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan iaitu penggunaan CCTV.

"Kita sudah jumpa CCTV ini, yang diletakkan pada pokok-pokok di lokasi pilihan untuk pendaratan. Mereka mahu pantau bagi elak daripada dikesan pihak berkuasa.

"Sebab itu, saya cakap kepada pegawai dan anggota supaya kena 'smart' daripada mereka. Dulu mereka pasang tonto. Sekarang, tonto ada malah CCTV pun ada," katanya.

Mohd Yusoff berkata, kaedah terbaharu itu dikesan PPM dalam tempoh kebelakangan ini.

"Sebelum ini tiada. Bagaimanapun, kita tahu kaedah mereka. Kita nak sampaikan mesej ini kepada mereka, bahawa kita juga sedang memantau mereka," katanya.