Tuduhan PKP fasa tiga tidak diwartakan, palsu: Ismail Sabri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan dakwaan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga tidak diwartakan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, dakwaan itu jelas palsu dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang menyebarkan perkara itu.

“Isu berita palsu masih lagi tidak berkurangan dan saya telah mengatakan selama ini bahawa kerajaan memandang serius kepada penularan berita palsu ini.

“Sebagai contoh dua hari lepas ada pihak yang mengatakan bahawa PKP tiga tidak diwartakan sedangkan jelas bahawa ia telah diwartakan.

“Jadi, konon-kononnya (dikatakan) tidak warta, polis tidak ada kuasa untuk membuat tangkapan dan sebagainya, ini merupakan berita palsu dan tindakan akan diambil ke atas penyebar berita palsu itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut memaklumkan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah membuka sebanyak 220 kertas siasatan berkaitan berita palsu wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 152 kes masih dalam siasatan, manakala 24 kes telah dituduh di mahkamah dan sebanyak 13 telah mengaku bersalah.

Artikel Berkaitan: