'Jaga tepi kain orang' atasi keganasan rumah tangga

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA – Talian Kasih 15999 di bawah Kementerian Wanita dan Keluarga (KWK) telah menerima 135 panggilan berhubung insiden yang melibatkan keganasan rumah tangga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya dengan laporan yang diterima itu.

“Jadi, kita mohon kepada orang ramai supaya terlibat sama dengan membantu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdengar atau mendapat maklumat tentang berlakunya keganasan rumah tangga ini.

“Mungkin yang terlibat tidak berani untuk membuat aduan dan sebagainya, jadi saya minta orang ramai terutamanya jiran-jiran membantu.

“Jadi, PDRM dan KWK ingin meminta kerjasama orang ramai terutama jiran untuk tampil dan melaporkan kes-kes keganasan rumah tangga ke Talian Kasih 15999 atau whatsapp 019-261 5999,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, pihak berkuasa khususnya polis akan sentiasa memantau dan bertindak segera sekiranya ada menerima laporan berhubung jenayah rumah tangga itu.

“Saya mendoakan supaya rumah tangga kita semua aman damai,” katanya.

Artikel Berkaitan: