Covid-19: Vietnam berpotensi jadi pengeluar topeng muka dunia

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

HANOI - Meskipun wabak koronavirus (Covid-19) menyebabkan industri pakaian Vietnam dilanda krisis namun di sebalik itu pandemik memberi peluang kepada negara berkenaan menjadi pengilang topeng muka dunia, lapor agensi berita Vietnam.

Banyak pengeluar pakaian baru-baru ini melabur untuk menghasilkan topeng muka berikutan kekurangan bekalan sedangkan terdapat permintaan yang tinggi.

Ada beberapa pengeluar menerima pesanan eksport bernilai jutaan dolar, memberi petunjuk positif kepada industri pakaian yang kini menerima kesan buruk akibat wabak Covid-19.

Baru-baru ini, Garment 10 Corporation Joint Stock Company mengatakan syarikatnya menerima tempahan eksport 400 juta topeng muka pembedahan bernilai AS$52 juta.

TNG Investment and Trading Joint Stock Company turut menghantar jutaan topeng muka yang diperbuat daripada kain antibakteria ke Kesatuan Eropah pada bulan lalu. TNG juga melabur bagi menghasilkan topeng muka pembedahan yang akan memulakan pengeluarannya bermula Mei.

Wakil Pengarah Jabatan Import-Eksport Kementerian Perindustrian dan Perdagangan, Tran Thanh Hai, dalam satu wawancara berkata, Vietnam mampu menjadi pengeluar topeng muka yang diperbuat daripada kain terbesar di dunia.

Menurutnya, promosi perlu diperluaskan bagi meningkatkan kesedaran pengguna untuk bertukar menggunakan topeng muka kain.

Katanya, pengeluar juga perlu memastikan barangan yang dikeluarkan itu benar-benar memenuhi syarat kualiti dan keselamatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: