Waspada, kekalkan jarak: Uncle Kentang

Chee Heng menerusi status dimuat naik meminta orang ramai lebih berhati-hati dan mengekalkan jarak dengan menganggap setiap orang berkemungkinan mempunyai virus Covid-19.
Chee Heng menerusi status dimuat naik meminta orang ramai lebih berhati-hati dan mengekalkan jarak dengan menganggap setiap orang berkemungkinan mempunyai virus Covid-19.
A
A
A

PUCHONG - Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang meminta orang ramai lebih berhati-hati dan mengekalkan jarak dengan menganggap setiap orang berkemungkinan mempunyai koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, masyarakat perlu melayan setiap orang seolah-olah mereka telah dijangkiti.

Terdahulu, status dimuat naik beliau Saya ada Covid. Faham? menerima pelbagai reaksi netizen.

Bagaimanapun, beliau kemudian menyunting kembali kenyataan itu

"Kamu harus anggap setiap orang itu berkemungkinan ada Covid-19. Ia boleh berlaku kepada kamu dan saya.

Prosedur operasi standard (SOP). Layan setiap orang seperti mereka ada Covid-19. Ia dapat membantu negara.

"Itu pesanan kepada pengikut saya. Jaga diri. Sayang kamu semua," tulisnya dalam status yang dimuat naik itu.

Dalam pada itu Chee Heng ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan status itu dimuat naiknya bagi 'mengejutkan' orang ramai yang masih lalai dan leka mengambil langkah pencegahan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang terkenal dengan aktiviti kebajikan dan sumbangan kepada golongan memerlukan memberitahu memuat naik kenyataan itu supaya setiap orang kekal melaksanakan penjarakan sosial.

"Bila saya hantar barang sumbangan ke sesuatu lokasi, ramai orang nak dekat dan bergambar dengan saya. Mereka tak pakai topeng muka.... saya jadi bimbang dan takut.

"Sepatutnya setiap orang kena waspada, anggaplah semua orang ada virus Covid-19 jadi kita akan lebih berjaga-jaga dan ambil langkah pencegahan," katanya kepada Sinar Harian.

Chee Heng berkata, berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) angka baharu mereka yang dijangkiti virus berkenaan mencatat penurunan semalam.

Katanya, disebabkan itu rakyat perlu terus patut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan amalkan langkah pencegahan.

"Kita kena sentiasa waspada 200 peratus dan anggap semua orang ada Covid-19 jadi kita tak akan mudah dekat sangat dengan orang.

"Ramai yang tak sedar dan ambil mudah. Status saya ni nak menyedarkan semua orang," katanya.

Status dimuat naik Chee Heng itu menerima 8,500 emoji, 3,500 komen dan 298 perkongsian selepas satu jam dimuat naik.

Rata-rata pengikutnya di Facebook bersetuju dengan kenyataan itu dan mendoakan kesihatan Chee Heng yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia.

Pelayar Facebook, Albert Chung di ruangan komen memberitahu dia memahami status Chee Heng bermaksud semua orang tidak harus mengambil mudah dengan virus tersebut.

"Maksud Uncle adalah kena anggap diri sendiri dan orang di sekeliling ada Covid-19. Baru kita akan menjaga diri kita dan orang ramai daripada mudah terdedah dengan Covid-19. Jangan ambil mudah virus ini.

"Sentiasa jarakkan diri daripada orang lain, basuh tangan sentiasa, pakai 'mask' selalu. Anggap diri kita ada Covid-19 dan menjaga diri sendiri dan orang lain. Putuskan rangkaian," tulisnya.

Fatimatwati Wati turut bersetuju dengan status Chee Heng dan meminta semua orang sentiasa peka.

"Betul sangat... Mr Kuan kena sentiasa berhati-hati dengan semua orang walaupun keluarga dan anak-anak yang keluar beli barang keperluan dan balik. Kita kena sentiasa peka.

"Sentiasa kekalkan jarak satu meter. Sentiasa hati-hati. Mr Kuan bukan kata dia ada Covid-19... dia cuma ingatkan semua orang sentiasa hati-hati," tulisnya di bahagian komen.