Guan Eng kecewa isu perkauman dalam konteks pendidikan jadi modal kempen

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kecewa pembangkang memainkan isu perkauman dalam konteks pendidikan semata-mata untuk memenangi PRK Cameron Highlands.

Katanya, menjelang PRK Cameron Highlands, pihak yang tidak bertanggungjawab telah memainkan sentimen perkauman untuk membidas tindakan kerajaan atau kementeriannya memberi sumbangan peruntukan kepada sekolah-sekolah seperti Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) serta Kolej Universiti New Era.

“Adalah amat mengecewakan pihak-pihak tersebut masih memainkan isu perkauman dalam konteks pendidikan semata-mata untuk memenangi pilihanraya kecil.

“Perbuatan ini tidak sihat kerana ia akan menafikan peluang menyediakan pendidikan yang inklusif dan juga membantut usaha mencapai kecemerlangan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Katanya, biarlah PRK itu ditentukan melalui perbandingan pihak mana yang boleh membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membawa pembangunan kepada Cameron Highlands, bukannya semata-mata memainkan sentimen perkauman dan ekstremisme agama.

Mengulas lanjut berkata, dasar berterangkuman jelas dicerminkan dalam Belanjawan 2019, di mana kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM652 juta untuk menaik taraf serta menyelenggara semua kategori sekolah berbanding dengan RM615 juta dalam Belanjawan 2018.

Katanya, peruntukan Belanjawan 2019 tersebut termasuk RM12 juta yang disampaikan kepada SMPC pada Jumaat lalu dan RM25 Juta untuk sekolah pondok yang tidak disediakan di dalam Belanjawan 2018.

“Ia juga melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), RM50 juta untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan serta RM50 juta untuk sekolah tahfiz.

Artikel Berkaitan:

“Tambahan, peruntukan sebanyak RM25 juta kepada sekolah pondok yang berdaftar telah pun disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pada 8 Januari lalu,” katanya.

Sebelum ini, katanya, kementerian juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada Universiti Islam Malaysia (UIM) yang berstatus institusi pendidikan tinggi swasta dan tidak bermotifkan keuntungan.

“Adakah saya akan dilabel anti-Cina dan pro-Islam kerana meluluskan peruntukan RM15 juta kepada UIM atau dilabel sebagai pro-Cina atau anti-Melayu kerana luluskan peruntukan kepada kolej swasta New Era dan kolej swasta lain?,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah pentadbiran yang inklusif, PH berharap rakyat boleh bersama komited menyokong agenda pendidikan yang cemerlang untuk semua, demi membantu pembangunan ekonomi.