'Pastikan pembangunan industri buluh tidak eksploitasi hutan'

SHARIFFA SABRINA
SHARIFFA SABRINA
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mahu kerajaan memberi jaminan bahawa inisiatif memajukan industri buluh di negara ini tidak akan menjejaskan kawasan hutan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pihaknya mengakui kelebihan buluh sebagai tanaman mesra alam yang mengekalkan air atau sebagai penyerap karbon yang cekap, namun memandang serius berhubung kaedah pelaksanaan pembangunan industri itu dalam memastikan baki hutan di Malaysia terus dilindungi dan tidak dieksploitasi.

Justeru katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia (KPPK) perlu memastikan bahawa ladang buluh tidak dilaksanakan di tanah hutan yang ada.

"Adalah kewajipan Kerajaan Persekutuan untuk bertahan bahawa pelaksanaan skema yang diperkenalkan oleh mereka sesuai dengan komitmen internasional untuk memastikan keberlanjutannya.

"Pengenalan penanaman buluh hanya harus dilaksanakan sebagai tanaman alternatif untuk tanaman tunai yang ada dan hanya terbatas pada tanah pertanian yang ada termasuk, perkebunan kelapa sawit," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, kerajaan Persekutuan harus mengambil contoh daripada penanaman kelapa sawit untuk memastikan kelestarian dalam jangka panjang.

Katanya, piawaian yang dilaksanakan dalam industri kelapa sawit berkaitan dengan kelestarian, harus diadaptasi di peringkat awal secara khusus, melibatkan had-had yang berkaitan aktiviti perladangan di tanah berhutan.

"Gagal berbuat demikian adalah tindakan tidak adil oleh kerajaan Persekutuan terutamanya apabila usaha baru ini dibiayai oleh kerajaan Persekutuan sementara tanah masih berada di bawah hak perlembagaan setiap negeri.

Artikel Berkaitan:

"Keuntungan ekonomi yang tidak mengambil kira kelestarian alam adalah perkara yang lapuk dan tidak lagi dapat dipertahankan," katanya.

Dalam masa sama, Shariffa Sabrina menyarankan kerajaan agar memberi fokus terhadap sekuriti makanan dengan mengembangkan sektor penting lain bagi mengurangkan kebergantungan makanan import berbanding memberi perhatian pada penanaman tanaman tunai yang diusahakan secara tidak lestari

"Fokus seperti ini sangat penting dalam menghadapi perubahan Iklim dan krisis ekonomi yang akan berlaku setelah pandemik Covid-19," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: KPPK beri tumpuan pembangunan industri buluh negara

Semalam, KPPK dilaporkan akan terus memberi penekanan ke atas pembangunan industri buluh sebagai program 'game changer' dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menterinya, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, industri itu mempunyai potensi besar untuk dimajukan di negara ini berdasarkan sumbangan eksport industri berasaskan buluh negara masih rendah iaitu sekitar RM9 juta pada 2019.

Sedangkan saiz pasaran global bagi produk buluh dianggarkan berjumlah AS$68 bilion (RM295 bilion) pada 2018.