'Ada ustaz kata boleh guna wang ini'

Wan Mohamad Adam menunjukkan duit yang sudah ditukar kepada ringgit.
Wan Mohamad Adam menunjukkan duit yang sudah ditukar kepada ringgit.
A
A
A

TUMPAT - Kekeliruan bermain di fikiran Wan Mohamad Adam Wan Mohamed, 29, mengenai hukum menggunakan wang yang dijumpai di dalam guni bundle.

Wan Mohamad Adam berkata, dia ada merujuk kepada seorang guru pondok untuk mengetahui hukum menggunakan wang tersebut.

"Ada sesetengahnya mengatakan boleh digunakan.

"Saya masih mencari jawapan pasti kerana wang tersebut sudah ditukar kepada Ringgit Malaysia dan digunakan untuk membeli guni bundle.

"Guni bundle yang mengandungi wang Jepun itu bukan ditemui tetapi saya beli dengan pemborong," katanya dihubungi Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tular jumpa duit: Mufti nasihat serah duit pada Baitulmal]

Semalam Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengeluarkan kenyataan wang tersebut perlu diserahkan kepada Baitulmal.

Wan Mohamad Adam mengakui sejak semalam tidak membuka Facebook kerana tidak sanggup membaca kecaman netizen selepas mufti menasihatinya menyerahkan wang itu ke Baitulmal.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak baca kenyataan mufti itu tapi mengetahuinya melalui ibu saudara dan ahli keluarga.

"Mereka rasa takut selepas membaca komen netizen,"katanya.

Wan Mohamad Adam berkata, guni bundle tersebut dibeli dengan harga RM50 di Wakaf Bharu tanpa memeriksa apa kandungannya.

Jumaat ini, Wan Mohamad Adam akan membuka kedai bundlenya di Kampung Tualang Salak, Jelawat, Bachok.

Katanya, sempena pembukaan itu, dia akan memberi baju bundle percuma sehingga habis 6 guni bundle yang dibuka.

Semalam Sinar Harian melaporkan rezeki terpijak kepada peniaga bundle apabila menjumpai wang tunai sebanyak 550,000 yen (RM20,755.84) di dalam kot.

450,000 yen sudah ditukar kepada Ringgit Malaysia berjumlah RM16,800.

Wang tersebut sudah digunakan membeli guni bundle dan rak untuk memulakan perniagaannya.