Covid-19: MBSB Bank sumbang RM1.45 juta

No Image Caption
A
A
A

MBSB Bank Berhad menyumbang lebih RM1.45 juta kepada pelbagai saluran dermawan sebagai salah satu usaha untuk membantu golongan terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, sumbangan digunakan bagi tujuan mengedarkan bekalan makanan, membeli peralatan pernafasan dan alat pelindung peribadi (PPE).

Ahmad Zaini
Ahmad Zaini

“Penerima sumbangan terdiri daripada petugas barisan hadapan, komuniti kurang mampu, rumah anak yatim dan penuntut institusi pengajian tinggi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, MBSB Bank telah menyalurkan sumbangan RM100,000 melalui Persatuan Bank Islam dan Kewangan Institusi Malaysia (AIBIM) ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai persediaan kritikal.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menerima sumbangan RM100,000 sebagai keperluan dana untuk membantu pekerja kesihatan demi memastikan bekalan perubatan mencukupi untuk memerangi Covid-19.

“MBSB Bank juga menyumbang RM100,000 kepada MERCY Malaysia untuk membeli ventilator pernafasan.

“Malah, sumbangan turut disalurkan kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) di bawah Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Projek Pelangi di bawah Rumah Pengasih Warga Penyayang (RPWP) bagi tujuan menyediakan topeng muka dan PPE,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, MBSB Bank turut menyalurkan sejumlah dana melalui organisasi seperti Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Islamic Relief Malaysia (IRM), Tabung Musa’adah Tunai Covid-19 di bawah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muslim Profesional Forum Berhad dan Kelab Usahawan Muslim Professional.

“MBSB Bank juga akan mengedarkan barang runcit dan barang elektrik kepada enam rumah anak yatim sebagai persediaan menyambut Ramadan serta 10 lagi rumah kebajikan lain di seluruh negara,” katanya.