KPM perlu lihat kesan terhadap murid keluarga B40

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Penutupan sekolah dan pembatalan peperiksaan awam peringkat rendah bakal memberi kesan jangka panjang terutama bagi murid daripada keluarga B40.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, adalah penting untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil kira pelbagai risiko agar jurang perbezaan dapat dikecilkan.

“Saya berpandangan adalah lebih baik sekiranya KPM mengumumkan kaedah baharu untuk menilai tahap penguasaan seseorang murid itu secepat mungkin,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: UPSR, PT3 tahun ini dibatalkan

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, sewaktu Pakatan Harapan (PH) mentadbir Putrajaya, pemansuhan peperiksaan setara untuk tahun 1 hingga tahun 3 telahpun dilaksanakan.

“Peperiksaan itu digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah sejak 2019,” katanya.

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching

Katanya, peperiksaan merupakan salah satu cara untuk mentaksir pembelajaran murid dan sekiranya Pentaksiran Bilik Darjah itu dapat dilaksanakan dengan baik dan adil maka pihak kementerian tidak perlu bergantung kepada peperiksaan semata-mata.

Terdahulu Kementerian Pendidikan membatalkan peperiksaan awam peringkat rendah bagi tahun ini, sementara peperiksaan awam peringkat tinggi dianjak sehingga tahun depan, selepas takwim pendidikan terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Menteri Kanan (Pendidikan) Mohd Radzi Md Jidin berkata, peperiksaan yang dibatalkan ialah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).