Budak 2 tahun tinggal di sarang penagih dadah

Kanak-kanak terbabit bersama ibunya ketika serbuan bersepadu dilakukan AADK bersama MBMB di Jalan Plaza Mahkota di sini.
Kanak-kanak terbabit bersama ibunya ketika serbuan bersepadu dilakukan AADK bersama MBMB di Jalan Plaza Mahkota di sini.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun daripada terus tinggal bersama ibunya di dalam sebuah premis yang dijadikan sarang penagihan dadah di Jalan Plaza Mahkota di sini.

Ia menerusi satu serbuan bersepadu yang dijalankan kira-kira jam 10 pagi oleh penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Seramai lapan individu terdiri enam lelaki dan dua wanita dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun telah ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah manakala dua lagi lelaki gelandangan yang tinggal di premis itu diserahkan kepada JKM.

Premis yang dijadikan sarang penagihan dadah di Jalan Plaza Mahkota di sini.
Premis yang dijadikan sarang penagihan dadah di Jalan Plaza Mahkota di sini.

Turut ditahan AADK di dalam serbuan itu, ibu kanak-kanak terbabit berumur 32 tahun selepas ujian air kencing didapati positif methamphetamine bersama tujuh yang lain.

Penolong Pegawai JKM (Unit Kanak-kanak) Melaka Tengah, Wan Nor Ahniza Hanom Ahmad berkata, kanak-kanak itu merupakan anak kedua wanita tersebut yang diselamatkan hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya.

"JKM sebelum ini telah beberapa kali berusaha untuk menyelesaikan kes status perhubungan ibunya dengan teman lelaki termasuk memanggil jurunikah tetapi pasangan itu melarikan diri.

"Pada hujung Oktober lalu, kita telah menyelamatkan anak bongsunya yang kini berusia empat bulan selepas ditinggalkan di Hospital Melaka, manakala anak sulung berumur 8 tahun dijaga oleh datuknya," katanya pada sidang media di Jalan Plaza Mahkota di sini.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, ketiga-tiga anak wanita tersebut merupakan hasil hubungan dengan individu yang berbeza sejak 2015.

Katanya, kanak-kanak tersebut akan dibawa ke rumah perlindungan dan proses selanjutnya akan dibuat mengikut Akta Kanak-kanak 2001.