Bijak rebut lima perkara

A
A
A

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit.

Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda mu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Sekarang kita berada dalam pusingan ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sudah lama kita berkurung dalam rumah masing-masing bersama ahli keluarga sama ada kesemuanya ada bersama kita atau sebahagian sahaja.

Jika kita tidak ditahan di hospital maknanya kita masih diberi nikmat kesihatan. Alhamdulillah. Jika kita masih dibayar gaji, maknanya kita masih “kaya” iaitu masih ada sumber pendapatan untuk meneruskan hidup. Alhamdulillah.

Kita juga tidak perlu lagi menghabiskan masa yang lama di atas jalan raya kerana kesesakan lalu lintas atau beratur panjang untuk membayar tol. Jadi, kita banyak masa lapang sebenarnya.

Alhamdulillah. Antara kita masih lagi muda belia dan banyak tenaganya. Alhamdulillah. Malah sekiranya pada hari ini di saat membaca tulisan saya ini nyawa kita masih di kandung badan, maknanya Allah masih bagi ruang untuk kita hidup lagi. Alhamdulillah.

Banyak sungguh nikmat yang ALLAH anugerahkan kepada kita sebenarnya walaupun di musim PKP. Sewajarnya nikmat-nikmat ini direbut oleh kita untuk melakukan perkara yang terbaik dan memanfaatkannya untuk diri kita dan orang lain.

Rebutlah peluang tersebut sebelum kita sakit, sebelum kita jatuh miskin, sebelum kita kesuntukan masa, sebelum kita tua tidak berdaya dan sebelum kita dipanggil pulang oleh ALLAH.

Artikel Berkaitan:

Dengan nikmat kesihatan, kita mampu membuat ibadah dengan sempurna. Jangan tunggu sampai kita jatuh sakit baru ingat untuk kembali kepada ALLAH dan baru hendak fokus kepada ibadah. Kerana ketika itu, kita tidak mampu untuk buat ibadah dengan sempurna apatah lagi dalam kuantiti yang banyak.

Dengan nikmat kaya/ ada harta, gunakan ia untuk perbanyakkan sedekah. Moga dengan itu rezeki kita semakin bertambah dek keberkatan yang ALLAH limpahkan kepada harta kita.

Dengan nikmat kelapangan masa pula, gunalah ia sebaik-baiknya. Bukan perbanyakkan tidur dan makan sahaja.

Bagi seorang muslim, gunalah untuk menambah hafazan al-Quran dan perbaiki bacaan al-Quran. Tambah ilmu sama ada dengan membaca buku yang ada di rumah kita atau mempelajari sesuatu daripada mana-mana medium yang sesuai.

Didik anak-anak kita untuk menggunakan masa sebaiknya dan bukan biarkan mereka bermain dengan telefon sepnjang masa. Aturkan aktiviti bersama mereka dengan sebaik-baiknya di sepanjang PKP ini.

Bagi yang masih muda, yang masih punya tenaga yang banyak dan belum ada keluarga, gunalah ruang yang ada pada musim PKP ini untuk membantu ibu ayah sebanyak mungkin. Jangan biarkan mereka sahaja mengendalikan urusan di rumah.

Masa inilah masa yang paling sesuai bagi anak-anak perempuan untuk belajar memasak dengan ibu mereka. Yang lelaki pula boleh meringankan beban ibu dengan membersihkan rumah dan halamannya.

Dan akhir sekali, dengan nikmat nyawa yang masih dikandung badan ini, rebutlah peluang itu dengan perbaiki kekurangan yang ada pada kita baik dari segi akidah, akhlak dan sebagainya. Ini kerana kita tidak mungkin dapat kembali semula ke dunia ini setelah kita dipanggil ke alam barzakh nanti.

Akhir kalam, jadilah orang yang bijak dalam merebut kelima-lima perkara tersebut sebelum ia berakhir. Wallahu a’lam.

Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah