Bekalan pertanian cukup, tak patut harga mahal

Norsiyenti
Norsiyenti
A
A
A

GOPENG - Jabatan Pertanian Perak menggesa pengusaha pertanian di negeri ini tidak menghentikan sebarang penanaman bagi memastikan bekalan makanan terus mencukupi.

Pengarahnya, Norsiyenti Othman berkata, biarpun jumlah bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini mencukupi, Jabatan Pertanian perlu memastikan sumber makanan dapat terus diperoleh sepanjang tahun.

Beliau berkata, pengusaha pertanian tidak perlu bimbang tentang hasil yang tidak dapat dijual kerana pihaknya bersama beberapa agensi di negeri ini seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) sedia membeli hasil-hasil tersebut.

"Kita minta petani teruskan menanam supaya hasil dapat dikeluarkan secara berterusan, jadi kita ada bekalan makanan. Jabatan dan agensi di negeri akan terus membantu mana-mana petani yang ada masalah.

"Semua agensi akan bekerjasama untuk memastikan masalah dihadapi petani diselesaikan asalkan tanaman tidak dibazirkan mahupun dibuang atau jangan berhenti menanam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini hari ini.

Norsiyenti berkata, keseluruhan pengeluaran hasil tanaman di Perak dari 28 Mac hingg 30 April lebih kurang 35,000 metrik tan dan jumlah tersebut membuktikan bekalan makanan mencukupi untuk tempoh akan datang.

Katanya, berdasarkan data-data tersebut menunjukkan jumlah bekalan sama seperti sebelum ini serta mencukupi dan tidak ada sebab untuk harga meningkat.

"Mesej yang saya nak beritahu, bekalan makanan kita cukup dan tak sepatutnya ada isu kenaikan harga malah pengeluaran kita pun mencukupi. Setakat yang saya lihat di Perak, harga adalah biasa di pasar raya malah ada sesetengah komoditi seperti cili, harganya lebih rendah daripada biasa. Saya rasa isu kenaikan harga ini tidak ketara di Perak, di negeri lain mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Ini mungkin disebabkan Perak merupakan antara negeri pengeluar sayur dan buah-buahan terbesar di Malaysia. Kebanyakan produk-produk kita seperti sayur, buah-buahan, telur dan sebagainya kita eksport ke negeri-negeri lain seperti Kedah, Melaka, Selangor dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini seramai 27,871 petani yang mendaftar dengan Jabatan Pertanian dan hasil-hasil pertanian yang tidak dapat dijual boleh dimaklumkan kepada agensi berkaitan untuk dibuat pembelian.

Katanya, hasil yang dibeli akan disalurkan ke beberapa tempat iaitu kepada FAMA untuk dipasarkan, dihantar kepada dapur pusat untuk dimasak di seluruh daerah bagi semua petugas hadapan.

Beliau berkata, selain itu, PPPNP juga akan mengambil hasil tersebut dan diberikan kepada anak syarikat mereka iaitu Agroto untuk diproses selain pembelian oleh rakan-rakan strategik.

Menurutnya, hasil-hasil tanaman itu juga dibungkus dalam kotak-kotak bagi program bantuan yang dijual kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertujuan membantu rakyat memerlukan di kawasan masing-masing.