Pendatang Yahudi, tentera Israel meludah di perumahan penduduk Arab

Pihak berkuasa Israel membuat kawalan di pintu masuk bandar dan perkampungan Palestin.
Pihak berkuasa Israel membuat kawalan di pintu masuk bandar dan perkampungan Palestin.
A
A
A

RAMALLAH - Kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan perbuatan pendatang Yahudi dan tentera Israel sengaja meludah di pintu rumah penduduk Arab mencetuskan kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19 di kawasan penduduk Palestin, lapor agensi berita Anadolu.

Perbuatan tidak senonoh itu dirakam CCTV di jalan-jalan di Hebron atau ibu kota Al-Khalil, di selatan Tebing Barat, 30 kilometer selatan Baitulmaqdis.

Mereka bukan sahaja meludah di pintu rumah, tetapi juga berhampiran kawasan kedai dan kereta. Gambar dan video itu menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat Palestin.

Anggota Majlis Perbandaran Hebron, Suzan Owawi berkata, perbuatan biadab itu satu cubaan untuk mencetuskan huru-hara.

Beliau berkata pihaknya maklum mengenai kejadian itu dan telah mengarahkan krunya mensterilkan semua kawasan terlibat.

"Penduduk bandar Beit Ummar di utara Hebron juga menemukan kotak-kotak yang dibuang tentera Israel di tepi jalan raya utama.

"Selepas diperiksa didapati kotak itu mengandungi peralatan perubatan terpakai seperti penutup hidung dan mulut serta jarum suntikan,” dakwa Owawi.

Jumlah kes Covid-19 di Israel meningkat kepada 12,046 dengan 123 kematian. Sementara Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan jumlah kes jangkitan sebanyak 329 dan dua kematian. - Bernama

Artikel Berkaitan: