Sidang DUN Kedah diteruskan esok

Mukhriz (kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz (kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diteruskan esok.

Ia sebagai memenuhi peruntukan undang-undang perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas sesi sidang DUN terakhir.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sidang DUN berkenaan hanya akan melibatkan tidak lebih 50 orang termasuklah 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri sahaja.

Menurutnya, sesi berkenaan hanya akan melibatkan titah ucapan perasmian Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehudin Sultan Badlishah namun tanpa keberangkatan Tuanku.

"Sidang DUN akan diadakan esok pagi untuk menyampaikan titah ucapan perasmian Sultan Kedah yang mana baginda tidak akan berangkat ke majlis berkenaan.

"Titah ucapan Tuanku akan diedarkan kepada ADUN Kedah pada majlis berkenaan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mukhriz berkata, sesi itu juga diadakan tanpa kehadiran ketua jabatan dan media.

Beliau berkata, pihaknya akan mengikuti semua langkah pencegahan seperti penjarakan sosial, pemeriksaan kesihatan dan pemakaian cecair pembasmi kuman dalam dewan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, pihaknya mendapati ada juga yang mengambil kesempatan menyebarkan berita palsu untuk meraih simpati ramai bagi mendapatkan bantuan.

"Sebelum ini, tersebar berita mendakwa ada 500 penduduk di Kuala Nerang yang terputus bekalan kerana tidak menerima bantuan ketika perlaksanaan PKP namun apabila disemak mendapati ia tidak tepat," katanya.

Menurutnya, penyebaran berita palsu itu bukan hanya menjejaskan reputasi malah seolah-olah mempamerkan imej bahawa Kedah tidak menyalurkan bantuan kepada penduduk.

"Jadi kita harap semak dahulu kesahihan info sedemikian dengan pihak-pihak berkaitan sama ada ia betul ataupun tidak sekali gus mengelakkan penyebaran berita tidak tepat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih atas keprihatinan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu menyalurkan sumbangan, namun pada masa diharapkan mengikut saluran betul dan tidak bertindih.

Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya akan mengenal pasti kaedah terbaik untuk membantu peniaga dan penjaja susulan pembatalan bazar Ramadan di Kedah.