Kiropratik alternatif urutan

A
A

Terapi Kesihatan Al-Sumayyah jadi pilihan untuk merawat sakit urat dan tulang

PADA era milenium ini, penjagaan kesihatan menggunakan kaedah tradisional masih mendapat tempat di hati pelanggan.

Daripada pesakit baharu hinggalah kepada individu yang sudah lama menderita penyakit yang entah bila akan sembuh, pastinya, akan seboleh-bolehnya mencari alternatif untuk kembali sihat dan ceria. Memang benar bagai dikata, kesihatan itu melebihi daripada segalanya di dunia ini.

Sebenarnya, terlalu banyak penyakit yang menghantui manusia. Namun, satu isu yang kerap dibangkitkan, adakah masalah berkaitan dengan saraf dan tulang memerlukan anggota badan pesakit diurut?

Mendengar persoalan yang kerap dilontarkan itu, Pengasas Terapi Kesihatan Al-Sumayyah, Latifah Ibrahim ada jawapannya.

Latifah menjelaskan, dalam kes sebegitu, sudah menjadi amalan pusat terapinya agar mendiagnosis pesakit terlebih dahulu,

“Selepas itu, ingin saya beritahu, seseorang pesakit tidak perlu diurut kerana bahagian sakit tidak melibatkan otot sebaliknya ia membabitkan tulang belakang dan pinggul.

“Oleh yang demikian, kami sarankan mereka memilih rawatan kiropratik (rawatan tulang belakang). Alhamdulillah, ada yang datang yang berusia dalam lingkungan usia 30-an hingga 60-an sudah boleh berjalan seperti biasa selepas tulang belakang dan pinggul diperbetulkan,” katanya ketika ditemui Sihat:Aktif baru-baru ini.

Ujar Latifah, selain urutan saraf dan kiropratik, mereka juga menyediakan rawatan lain seperti muka, bekam, akupuntur termasuk resdung lilin, bekam resdung dan akupuntur resdung.

Pusat Terapi Kesihatan Al-Sumayyah ini jug difahamkan bukan sahaja menerima kunjungan pelanggan dari Shah Alam, Klang mahupun Kuala Lumpur malah pelanggan berbilang kaum percaya kepada khidmat dan servis yang ditawarkan pusat ini!

Tip

Seperti kata-kata pakar lain, Latifah berkata, tubuh yang sihat sebenarnya lahir daripada pemakanan yang baik.

Kurangkan pemakanan yang berlemak, manis dan berminyak. Lebihkan makan sayuran hijau, ujarnya yang turut mempunyai Sijil Perawatan Islam Ruqyah dan turut mengajar kursus-kursus berkaitan di industri kecil dan sederhana dalam bidang urutan dan bekam di Kolej Komuniti di Kluang, Pagoh, Batu Pahat, Johor termasuk di Klang, Selangor.

“Kita juga perlu sentiasa berikan lebih perhatian terhadap diet dan aktiviti fizikal. Lakukan senaman dengan kerap dan selalu memeriksa kesihatan di hospital,” ujarnya .

Pun demikian, pesan Latifah, sebagai hamba Allah, kita juga perlu menjaga hubungan dengan Pencipta bagi memastikan sentiasa mendapat perlindunganNya.

“Jagalah solat, perbanyakkan solat dan puasa sunat, baca al-Quran. Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa menjaga ibadat solat dan puasa seperti solat fardu, solat sunat, puasa sunat dan membaca al-Quran dan bersedekah. Insya-Allah kita akan diredaiNya” katanya.

Jangan lupa juga amalkan makanan sunnah seperti habbatus sauda, minyak zaitun dan kurma selain ubat-ubatan Islam, pesan Latifah.