Penerbangan ke Sabah, Sarawak ada syaratnya: Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob. – Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob. – Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan untuk membenarkan penerbangan domestik ke Sabah dan Sarawak seminggu sekali ketika ini adalah untuk membawa pulang rakyat di kedua-dua negeri itu yang telah selesai menjalani kuarantin 14 hari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penerbangan menggunakan Malaysia Airlines (MAS) itu turut mendapat kelulusan Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Ramai juga yang bertanya dan mempersoalkan perkara ini (benarkan penerbangan domestik), mereka yang telah dikuarantin awal dulu telah pun dibenarkan keluar dan ada antara mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

“Jadi, kalau kita hendak tunggu penerbangan dibuka pada 1 Mei, maka mereka masih lagi perlu tinggal di sini (Semenanjung) untuk tempoh dua hari lagi.

“Justeru MAS berpandangan dan MOT juga telah berbincang bahawa perlu ada penerbangan supaya mereka boleh pulang (ke Sabah dan Sarawak) apabila telah selesai tempoh kuarantin selama 14 hari ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, langkah itu diambil bagi menyelesaikan masalah rakyat di kedua-dua negeri itu yang terpaksa transit dan dikuarantin wajib di Kuala Lumpur sebelum pulang ke negeri masing-masing.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan kerajaan juga sedia pertimbang untuk membenarkan penerbangan dua kali seminggu atau mengikut keperluan sekiranya terdapat lebih ramai rakyat di kedua-dua negeri itu yang selesai menjalani proses kuarantin.

“Kalau ada cadangan penerbangan dua kali seminggu atau ikut keperluan berdasarkan jumlah penumpang kerajaan melalui MOT sedia pertimbang,” katanya.

Artikel Berkaitan: