Arak bernilai RM374,840 dirampas di Johor

Mohd Yusoff menunjukkan antara minuman keras tidak bercukai yang dirampas
Mohd Yusoff menunjukkan antara minuman keras tidak bercukai yang dirampas
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 berjaya merampas 129 kotak berisi minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai bernilai kira-kira RM374,840, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, kesemua minuman keras tersebut ditemui dalam sebuah lori di Taman Nusa Bestari di sini.

Menurutnya, serbuan sekitar jam 9 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota itu hasil daripada maklumat serta risikan yang dijalankan.

"Lori ini diletakkan berhampiran dengan kawasan rumah kedai. Hasil maklumat dan risikan kita, dipercayai pemilik kedai (berdekatan) ini, jual yang bercukai tetapi lori ini disimpan yang tidak bercukai.

"(Mungkin) sekiranya pelanggan mahu yang murah, ia diambil dari lori. Jadi ini untuk mengaburi mata pihak penguat kuasa. Modus operandi ia macam itu," katanya pada sidang media di PPM Wilayah 2, Tampoi di sini hari ini.

Turut hadir, Komander PPM Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang.

Mohd Yusoff berkata, PPM akan melihat modus operandi tersebut dalam beberapa sudut, malah cara-cara lain yang dilakukan untuk mengaburi pihak penguat kuasa, pada masa akan datang.

Katanya, meskipun tiada tangkapan dibuat, pihaknya telah mengenal pasti dua individu yang dipercayai terlibat dalam kes itu selain sedang membuat semakan terhadap lori terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Kita belum buat lagi serbuan ke atas kedai. Kita tunggu masa yang sesuai untuk buat serbuan ke atas kedai. Orang-orang yang terlibat ini, kita sudah kenal pasti.

"Setakat ini dua orang (dikenal pasti) berusia lebih kurang awal 30-an," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan daripada Jabatan Kastam.

Selain itu, beliau memaklumkan sepanjang tahun lalu, sebanyak 31 kes direkodkan bagi PPM Wilayah 2 membabitkan rampasan rokok tidak sah dan minuman keras bernilai RM8.5 juta.

"Rekod rampas rokok tidak sah adalah 20 kes dengan nilai RM8.08 juta manakala minuman keras pula adalah 11 kes dengan nilai RM431,468.

"Seramai 12 individu ditahan iaitu 10 orang bagi kes rampasan rokok tidak sah, selebihnya adalah minuman keras," katanya.