Lelaki ceroboh rumah, tunjuk kemaluan ditahan polis

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang bukan sahaja telah menceroboh masuk sebuah rumah tetapi juga mengaibkan kehormatan seorang wanita penghuninya berjaya ditahan polis di Kulai, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow berkata lelaki tempatan berumur 22 tahun itu diberkas pada 1.30 pagi di Taman Muhibbah, Kulai, atas maklumat awam.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang wanita rakyat Indonesia yang mendakwa rumahnya di kawasan rumah pangsa Jalan Lengkongan, Kulai, diceroboh seorang lelaki tidak dikenali pada 9 Jan.

"Semasa kejadian, wanita itu sedang tidur dan terbangun selepas terdengar bunyi orang menyelongkar barang.

"Apabila diperiksa, wanita itu melihat seorang lelaki yang tidak berbaju sedang menyelongkar barang di dalam bilik dan lelaki terbabit kemudian mengarahkannya diam dan mengugut akan memukul sekiranya menjerit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beng Yeow berkata lelaki terbabit secara tiba-tiba bertindak menunjukkan kemaluannya sebelum melarikan diri melalui siling di bahagian ruang tamu rumah setelah wanita berkenaan menyuruhnya keluar.

Beliau berkata hasil siasatan awal terhadap lelaki itu, dia mengaku terlibat dalam kes pecah masuk rumah wanita berkenaan dan dia juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Sesyen 448/509 Kanun Keseksaan.- Bernama.

Artikel Berkaitan: