Hadari bantu pelajar UPSI dalam kesulitan

Ahli Hadari menyerahkan bantuan keperluan harian kepada Pusat Pelajar untuk membantu pelajar yang masih menetap di kampus U.
Ahli Hadari menyerahkan bantuan keperluan harian kepada Pusat Pelajar untuk membantu pelajar yang masih menetap di kampus U.
A
A
A

MUALIM - Himpunan Anak Darul Ridzuan (Hadari) menyerahkan bantuan barangan keperluan harian kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang masih menetap di kampus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di sini.

Yang Dipertua Hadari, Muhammad Haiqal Musa berkata, barangan keperluan itu yang dikumpulkan di Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah turut disumbangkan oleh kerajaan negeri Perak dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak.

"Sumbangan ini bagi meringankan beban pelajar menghadapi kesukaran untuk mendapatkan barangan keperluan sepanjang PKP yang memasuki fasa ketiga sehingga 28 April ini.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan GPMS yang memberikan sumbangan makanan kering kepada pelajar UPSI. Sumbangan tersebut diuruskan dengan baik oleh Majlis Perwakilan Pelajar UPSI,” katanya semalam.

Mohd Hairy Ibrahim
Mohd Hairy Ibrahim

Menurutnya, hasil kajian melalui Google Docs Online mendapati seramai 60 peratus mahasiswa Perak sudah pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Usaha bantuan ini dilakukan bagi memastikan tidak berlaku masalah pelajar terpaksa ‘ikat perut’ sehingga menjejaskan tumpuan pembelajaran, seperti yang dilaporkan media massa,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Profesor Madya Mohd Hairy Ibrahim berkata, melalui Hadari, pelajar yang layak akan menerima RM400 yang diberikan secara 'one off' ke dalam akaun oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK).

Artikel Berkaitan:

“Mahasiswa Perak UPSI yang berada dalam kesulitan boleh terus menghubungi Pusat Kebajikan Hadari dan bantuan akan diberikan dalam masa terdekat,” katanya yang juga Penasihat Hadari.

Katanya, Hadari sejak sekian lama memberi tumpuan terhadap aspek kebajikan pelajar, malah pelbagai kategori bantuan kebajikan pelajar dilaksanakan seperti bantuan makanan dan sebagainya.