Sorok arak seludup dalam kebun

Arak yang ditemui disembunyikan di kawasan kebun kelapa sawit.
A
A

KLANG - Puluhan kotak mengandungi arak seludup yang ditutup kain kanvas bersama longgokkan sampah yang disorok di kebun kelapa sawit tidak berjaya mengaburi mata pihak berkuasa.

Dalam kejadian sekitar jam 12.15 tengah malam tadi, Pasukan Polis Marin (PPM) semasa Operasi Pensura Khas berjaya menemui barang seludup berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintenden Khairuddin Jamal berkata, PPM menemui 32 kotak mengandungi arak pelbagai jenama dipercayai disimpan sementara sebelum dijual untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk nilai import serta cukai barang dan perkhidmatan (SST) dianggarkan sebanyak RM 11,066.41.

Khairuddin menambah, PPM telah mengesan satu pergerakan mencurigakan dari sebuah kereta pacuan empat roda yang keluar dari kawasan kebun di Kampung Telok Gong.

“Berdasarkan petunjuk itu, polis berjaya menemui longgokkan arak berkenaan dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967. Semua arak yang ditemui di bawa ke Markas Operasi.

“Ketika kejadian, tiada tangkapan dilakukan, walau bagaimanapun siasatan lanjut akan di buat bagi mengenalpasti suspek,” katanya.

Operasi Pensura Khas itu diketuai oleh Sarjan Major Ariffin Omar bersama empat anggotanya, Sarjan Mohamad NizamZainol, Kopral Norazlan Mustafa Samberi, Kopral Armal Azhar Abd Razak dan Kopral Irwan Kamaruddin.