Buatlah yang terbaik

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

AWANG angkat topi pada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang berani berkata benar.

Apabila kerajaan ada cadangan nak buka premis gunting rambut dan salon kecantikan, beliau nasihatkan jangan.

Apabila Kementerian Pendidikan Tinggi nak hantar pulang pelajar yang sekarang berada di kampus, beliau nasihatkan jangan dulu.

Inilah jenis profesional yang negara mahukan. Orang yang bertindak atas fakta dan data.

Beliau bersedia membetulkan siapa sahaja termasuk menteri sendiri sekiranya berlawanan dengan prinsip kawalan dan pencegahan wabak Covid-19.

Awang tahu tidak mudah untuk buat begitu. Adakalanya orang politik tak suka pegawai kerajaan yang berterus terang macam ini.

Dari dulu pun sejarah tunjukkan kehebatan beberapa orang pegawai tinggi yang berani berkata benar.

Seingat Awang, Allahyarham Tan Sri Ishak Tadin dan Datuk Hassan Ibrahim adalah antara contoh yang terbaik. Mereka berani kerana benar.

Artikel Berkaitan:

Nama-nama lain termasuklah Tan Sri Zaman Khan dan Tan Sri Ambrin Buang. Mereka semua fikirkan kepentingan rakyat terlebih dahulu sebelum kepentingan diri sendiri. Mereka sanggup hadapi risiko.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Wabak ini menunjukkan belang sebenar manusia. Ada yang nak jadikan ini peluang untuk popularkan diri. Ada yang cari peluang nak dapat kontrak. Kata orang, memasang lukah di pergentingan.

Ada orang kata, dah tak ada ikon lagi dalam perkhidmatan awam. Yang tinggal hanya mereka yang makan gaji.

Dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pun yang tinggal Encik dan Puan ‘Ye Tuan‘ (Yes Sir). Nampaknya hal ini akan berubah. Dr Noor Hisham dah tunjuk jalannya.

Elakkan publisiti murahan

Awang terperanjat juga apabila netizen bangkitkan isu posting berunsur politik dalam Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Khabarnya ada grup yang menamakan diri mereka ‘Friends of Adham Baba’ yang muatkan posting itu dalam FB rasmi KKM. Oleh sebab serangan hebat daripada netizen, posting itu dah dipadamkan.

Awang bukan nak salahkan Menteri Kesihatan kita, Datuk Seri Dr Adham Baba. Mungkin dia tak tahu pun posting itu dimuatkan tapi tukang jaga pintu akaun FB KKM patutnya peka hal seperti itu.

Dalam keadaan sekarang, setiap posting dalam media sosial diperhatikan orang, lagi pulak yang membabitkan KKM.

Pada pendapat Awang, tak elok sangatlah kalau FB rasmi KKM burukkan Menteri Kesihatan yang sebelum ini.

Menurut posting itu, menteri yang dulu ‘tak ada sense of urgency’ dan ‘blur’, maka dibandingkanlah bagaimana yang sekarang bertindak pantas. Kata posting itu, menteri sekarang ‘tak banyak cakap, tak banyak cerita’.

Belumpun dua bulan bertukar menteri, tak eloklah kalau FB rasmi KKM digunakan untuk promosi mana-mana individu dan cari salah orang lama.

Nasihat Awang, buat masa ini tumpukan pada kerja. Perjuangan menentang Covid-19 belumpun selesai.