Kes Covid-19 naik mendadak seluruh dunia

Gambar kecil: Dr Malina Osman
Gambar kecil: Dr Malina Osman
A
A
A

SHAH ALAM - Wabak koronavirus (Covid-19) yang mula dikesan di Wuhan, China pada Disember lalu kini merebak ke 200 negara dengan menjangkau angka dua juta kes jangkitan termasuk 120,423 kematian dalam tempoh empat bulan.

Setakat jam 5.40 petang hari ini, Amerika Syarikat terus merekodkan kes jangkitan tertinggi seluruh dunia sebanyak 587,173 kes diikuti Sepanyol yang mencatatkan 170,099 kes dan Itali dengan 159,516 kes.

Angka tersebut menunjukkan jangkitan Covid-19 mengatasi wabak influenza H1N1 sebelum ini membabitkan 762,630,000 kes dengan 284,500 kematian pada tahun 2009.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) hari ini mengakui bahawa Covid-19 merebak cepat dengan 10 kali ganda kematian melangkaui HIN1.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, peningkatan mendadak kes di beberapa negara adalah disebabkan isu berkaitan sejauh mana kesiapsiagaan menghadapi wabak.

“Di United Kingdom contohnya, dilaporkan mereka tidak mengendahkan amaran awal wabak dan menyebabkan banyak peralatan perlindungan diri, aktiviti pengesanan kontak serta ujian saringan tidak dijalankan lebih awal.

“Akhirnya jumlah kes tiba-tiba naik mendadak. Keadaan yang sama juga berlaku di Amerika Syarikat.

“Maklumat dari sidang akhbar menunjukkan banyak perdebatan antara ahli politik dan pakar kesihatan negara itu mengenai kesiapsiagaan mereka selain implikasi kes baharu dan kematian yang mengatasi negara lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Di Brazil berlaku percanggahan pendapat antara Presiden dan Menteri Kesihatan dalam menyediakan pelan pencegahan Covid-19.

Presiden Brazil tidak bersetuju dengan arahan kawalan pergerakan kerana cenderung mengutamakan aktiviti ekonomi dan ketidakseragaman tersebut mengakibatkan peningkatan mendadak kes jangkitan di negara itu sejak awal April.

Sweden pula tidak mengenakan sebarang sekatan kediaman ketika Covid-19 melanda negara Eropah seperti Itali, Jerman, Sepanyol dan UK.

Kesannya dapat dilihat hari ini melalui peningkatan kes yang mula dicerap di negara tersebut.

Menurut Dr Malina lagi, ahli sains mengenal pasti virus penyebab Covid-19 terdiri daripada tiga strain berbeza iaitu A,B dan C yang berkemungkinan disebabkan oleh perubahan gene melalui proses mutasi yang berlaku pantas.

“Variant A dinyatakan mempunyai ciri genetik yang hampir sama dengan virus yang ditemui pada tenggiling dan kelawar dan dikatakan merupakan punca berlakunya wabak Covid-19 ini.

“Jenis B adalah diterbitkan dari variant A yang dipisahkan oleh dua proses mutasi manakala variant C merupakan hasil terbitan dari variant B.

“Kebanyakan kes di Asia Tenggara dan Eropah adalah dari variant C. Penemuan penyelidikan terkini di sebuah unit rawatan rapi (ICU) hospital di China juga merekodkan virus penyebab Covid-19 ini boleh tersebar sehingga empat meter,” katanya.

Di samping itu, Dr Malina menjelaskan bahawa terdapat kemungkinan berlaku jangkitan semula (re-infection) seperti yang dilaporkan Korea Selatan baru-baru ini.

Situasi tersebut menimbulkan tanda tanya mengenai ciri-ciri virus yang masih perlu dikaji secara teliti melalui penyelidikan.

“Keperluan vaksin adalah merupakan sesuatu yang sangat kritikal. Dalam konteks sekarang, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah langkah penyelesaian mutlak untuk wabak Covid-19.

“Sehinggalah vaksin dihasilkan dan situasi di mana masyarakat memperolehi apa yang disebut imuniti kelompok, barulah kita dapat kembali kepada kehidupan seperti dahulu.

“Imuniti kelompok juga bergantung kepada kadar jangkitan semula jadi yang berlaku dalam sesuatu masyarakat. Pada masa ini, pengurusan klinikal menggunakan ubat sedia ada merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Ubat anti malaria seperti hydroxychloroquine dan ubat anti virus yang pernah digunakan dalam jangkitan virus seperti selesema burung dan H1N1 turut digunakan.

Terkini, ubat anti rheumatoid seperti tocilizumab turut diuji secara klinikal selepas penemuan awal memberikan indikasi potensi yang memuaskan.

Serum pesakit yang telah sembuh juga memberikan harapan untuk penemuan rawatan pesakit Covid-19 melalui transfusi antibodi yang dapat mencegah keadaan klinikal yang teruk.

Sementara itu, Doktor Pakar Pekerjaan dan Perubatan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, situasi semasa penularan wabak Covid-19 di seluruh negara adalah sesuatu yang menakutkan.

“Ini kerana ia turut melibatkan negara maju dengan fasiliti dan kepakaran yang sepatutnya boleh mendepani wabak ini seperti Amerika Syarikat dan Itali.

“Keadaan bertambah teruk dalam tempoh empat bulan sahaja dan sampai sekarang, masih belum nampak ubat anti virus Covid-19 yang spesifik.

“Kita juga belum dengar adanya vaksin dalam masa terdekat. Di Amerika Syarikat sepatutnya pembangunan vaksin itu sudah menunjukkan peningkatan,” katanya.

Meskipun cara jangkitan Covid-19 hampir dengan H1N1 namun penularan selesema pada tahun 2009 itu berjaya dikawal apabila vaksin berjaya dihasilkan dalam tempoh singkat.