Didenda RM3,500 kerana tolak polis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara menolak seorang pegawai polis yang bertugas semasa tempoh Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) awal April lepas, seorang lelaki hari ini didenda RM3,500 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menjatuhkan hukuman itu terhadap A Dinesh, 27, selepas dia mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah ke atas penjawat awam iaitu Asisten Komisioner Ahmad Safry Abdullah Azizi dengan niat hendak menghalangnya daripada menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di ruang lif, Flat Sri Selangor, Jalan San Peng di sini pada jam 9.30 malam 9 April lepas mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pegawai polis itu melihat sekumpulan lelaki India di lobi lif kawasan kediaman tersebut dan meminta mereka menunjukkan dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun, tertuduh membuat provokasi dengan mengajak penjawat awam itu bertumbuk serta menolak pegawai polis berkenaan semasa beliau hendak membuat tangkapan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak sengaja melakukan kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar pula berkata alasan yang diberikan itu tidak bermakna tertuduh boleh mencederakan badan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga keamanan negara semasa pelaksanaan PKP. - Bernama

Artikel Berkaitan: