Singapura catat 334 kes baharu

Asrama yang menempatkan ribuan pekerja asing kini menjadi antara cabaran terbesar Singapura untuk melawan Covid-19.
Asrama yang menempatkan ribuan pekerja asing kini menjadi antara cabaran terbesar Singapura untuk melawan Covid-19.
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini melaporkan tambahan 334 kes baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) di republik itu menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 3,252.

Menurut Pengarah Perkhidmatan Perubatan MOH Profesor Madya Kenneth Mak, kes baharu itu menyaksikan tiada kes import manakala 189 mempunyai kaitan dengan beberapa kluster yang telah dinamakan, 23 dikaitkan dengan kes tempatan lain dan 122 tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kluster setakat ini.

“Bagaimanapun, 122 kes ini tidak membayangkan penularan sumber yang tidak diketahui. Jumlah ini akan berkurangan secara progresif dan kami akan mengaitkan mereka dengan kluster sedia ada iaitu yang membabitkan asrama pekerja asing atau sebaliknya,” katanya pada taklimat teknikal secara maya Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Covid-19 dan sidang akhbar di sini.

Mak berkata, 98 orang daripada mereka adalah pemegang pas pelawat jangka panjang dan kebanyakannya tidak mempunyai kaitan dengan asrama pekerja terbabit manakala 24 merupakan warga Singapura atau penduduk tetap (PR).

“Mereka yang dikaitkan dengan kluster yang telah dinamakan setakat ini hanya dua orang iaitu warga Singapura dan PR.

"Selebihnya adalah pemegang pas pelawat jangka panjang. Mereka sudah dikaitkan dengan kluster yang telah dinamakan dan kebanyakannya tinggal di asrama pekerja,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: