X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan panik, bekalan makanan diyakini cukup

Wacana Siri 165 bertajuk Covid-19: Bila Malaysia Akan Pulih yang disiarkan secara langsung di laman web Sinar Harian hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Bekalan makanan di negara ini mencukupi malah terdapat lebihan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilanjutkan untuk tempoh beberapa bulan.

Timbalan Dekan Fakulti Pertanian UPM, Profesor Dr Anjas Asmara Samsudin berkata, masyarakat tidak perlu panik kerana permintaan lebih rendah berbanding jumlah pengeluaran semasa bagi beberapa jenis makanan utama.

Menurutnya, jika bekalan makanan import terjejas, ia tidak begitu kritikal kerana pengeluaran tempatan masih ada bagi menampung permintaan.

"Seperti yang dinyatakan kerajaan, jumlah bekalan beras konsisten, produk protein seperti telur dan daging ayam juga mencukupi untuk menampung permintaan. Ayam sahaja pengeluarannya 57 hingga 59 juta ekor sebulan berbanding permintaan 43 hingga 45 juta ekor sebulan.

"Pengeluaran telur pula dianggarkan sebanyak 800 juta sebulan berbanding permintaan tempatan 620 hingga 630 juta...ini akan kekal untuk beberapa bulan lagi jika PKP tamat dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Siri 165 bertajuk Covid-19: Bila Malaysia Akan Pulih yang disiarkan secara langsung di laman web Sinar Harian hari ini.

Wacana tersebut turut dibarisi panelis, Pakar Virologi, Prof Dr Sazaly Abu Bakar dengan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Dr Anjas berkata, keyakinan itu bertambah apabila golongan petani dan penternak kini kembali melakukan rutin mereka selepas kerajaan membenarkan operasi sektor berkenaan diteruskan.

"Bekalan negara memang mencukupi dan ini menunjukkan petani dan penternak kita melakukan kerja seperti biasa," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, situasi yang berlaku kini membuka ruang kepada masyarakat untuk meneroka bidang pertanian dan penternakan yang disifatkan mempunyai prospek begitu luas dalam memperkukuhkan aspek kedaulatan makanan negara.

Jelasnya, kedaulatan makanan negara merujuk kepada hak untuk setiap rakyat mendapatkan makanan sihat yang dihasilkan melalui kaedah lestari dan hak menentukan sistem makanan dan pertanian mereka sendiri tanpa penglibatan pihak luar.

"Ruang dan peluang untuk semua, jadi saudagar pertanian adalah tinggi. Kebanyakan golongan ini di Malaysia bukan daripada latar belakang pertanian tetapi ada jurutera, sains komputer tetapi mereka beralih arah kerana nampak peluang, semua orang perlukan makanan.

"Golongan petani ini menjalankan fardu kifayah kerana mereka membekalkan makanan kepada manusia untuk terus hidup dan dapat beribadah..kalau melihat perspektif itu petani perlu dihormati,"katanya.

Tambah beliau lagi, minda masyarakat perlu lebih terbuka bahawa pertanian tidak sekadar terhad di luar bandar tetapi boleh berlaku walaupun di balkoni kediaman bertingkat.

"Sebelum ini kebanyakan aktiviti pertanian lebih bertumpu di luar bandar. Jadi sekarang ini penting untuk menarik penglibatan pertanian mendekati kawasan urban dan sub urban dan dilaksanakan berdasarkan revolusi 4.0.

"Bagaimana untuk bertani di kawasan yang terhad? Itu pentingnya teknologi terkini diguna pakai. Kawasan urban juga boleh menjana sumber pendapatan baharu. Disokong pula dengan perkhidmatan penghantaran yang boleh memaksimumkan pendapatan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus