Lelaki mengaku salah rompak ibu tunggal

Tertuduh sewaktu diiringi polis di Kompleks Mahkamah Terengganu di sini hari ini.
Tertuduh sewaktu diiringi polis di Kompleks Mahkamah Terengganu di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan merompak seorang ibu tunggal.

Tertuduh, Ahmad Alif Mohamad, 27, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merompak barangan milik Rosmini Othman, 36, berupa beg silang yang mengandungi wang tunai RM150, sebuah telefon bimbit jenama Lenovo dan enam utas gelang tangan bukan emas menggunakan pisau lipat.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Lubuk Mandi, Kampung Bukit Khor, Marang jam 12.05 tengah hari pada 2 April lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama, berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalahnya direkodkan, Noradila kemudiannya menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya L Shantini manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakilkan Mazlan Md Zein.

Artikel Berkaitan: