'Masjid India jangan jadi Sri Petaling kedua'

 Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak mudah untuk dilaksanakan di tengah pusat bandar tetapi perlu bagi mengelak situasi Masjid India menjadi di Sri Petaling kedua.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, PKPD di Menara Plaza City One menyaksikan lonjakan 17 kes kepada 39 kes sementara Selangor Mansion dan Malayan Mansion daripada 15 kes kepada 88 kes.

Menurutnya, perkara itu satu cabaran besar tetapi langkah segera dan tegas perlu dilakukan bagi memastikan penularan koronavirus (Covid-19) dapat diuruskan sebaik mungkin.

"Saya tak mahu Masjid India menjadi seperti Sri Petaling yang wabak merebak selepas peserta himpunan ijtimak bertaburan ke merata negeri termasuk luar negara. Kesannya kluster Sri Petaling mencatat 1,850 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD kelima di kawasan sekitar Masjid India

"Kita ambil pengajaran itu nak pastikan sekitar Masjid India tidak menular dan gagal dikawal. Walaupun kes meningkat tetapi kita berharap dapat menguruskan penularan itu sebaik mungkin," katanya pada Facebook Live Menteri Wilayah Persekutuan hari ini.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perlaksanaan PKPD kelima di kawasan sekitar Masjid India, Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini sehingga 28 April ini.

Kawasan terbabit ialah Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang sekitar Masjid India.

Annuar juga mahu pemilik premis menyalurkan maklumat pekerja yang berada dalam PKPD kelima bagi membolehkan ujian saringan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Saya seru mereka tampil secara sukarela sama ada penyewa atau pekerja premis supaya ujian dapat dilakukan bagi memastikan wabak ini tidak merebak ke kawasan sekitarnya yang dikelilingi pembinaan, kondominium, pasar raya, hotel dan tempat tinggal.

"Petugas di zon PKPD telah diarahkan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap. Saya juga akan mengadakan mesyuarat Pusat Pengurusan Krisis (CMC) bagi tambahan anggota dan keperluan logistik," katanya.

PKPD Menara Plaza City One mula dilaksanakan 31 April melibatkan 3, 200 penghuni disusuli Selangor Mansion dan Malayan Mansion pada 7 April lalu dengan 1,650 penghuni.