Semua zon merah seluruh negara selesai disanitasi

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Ops Sanitasi Awam Covid-19 telah melaksanakan 1,701 operasi sanitasi di 97 zon termasuk di 26 zon merah.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Ops Sanitasi Awam Covid-19 telah melaksanakan 1,701 operasi sanitasi di 97 zon termasuk di 26 zon merah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Ops Sanitasi Awam Covid-19 telah melaksanakan 1,701 operasi sanitasi di 97 zon termasuk di 26 zon merah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kawasan yang disanitasi ialah 1,203 bangunan kerajaan, 701 tempat awam, 736 pusat perniagaan dan 139 pasar raya.

"Kesemua zon merah di seluruh negara telah selesai disanitasi. Operasi akan diteruskan di kawasan-kawasan yang diputuskan bersama Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah.

"Keutamaan akan diberikan di Zon Merah dan Zon Kuning dan lokaliti kes berdasarkan bilangan kes Covid-19 terkini," katanya.

Menurutnya, sebanyak 174 operasi sanitasi meliputi 70 zon di 12 negeri termasuk 37 kawasan di Johor dan 21 kawasan di Terengganu di mana sebanyak 141 bangunan kerajaan, 63 tempat awam, 61 pusat perniagaan dan 15 pasar raya telah disanitasi, semalam.

"Semalam juga sebanyak sembilan kawasan gunasama skim strata kos rendah dan sederhana rendah zon merah di Selangor telah disanitasi menjadikan jumlah keseluruhan 35 kawasan gunasama zon merah di Selangor telah selesai disanitasi," katanya.

Menurutnya, bagi pengurusan pusat kuarantin, sebanyak 176 pusat telah beroperasi berbanding 174 pada hari sebelumnya dengan seramai 13,528 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

" Semalam, seramai 593 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib," katanya.

Artikel Berkaitan: