Selangor lengkapkan kuota lima pemain import

Persatuan Bola Sepak Selangor
A
A

NAIB juara Piala FA 2018, Selangor melengkapkan kuota pemain import bagi saingan Liga

Malaysia 2019 apabila sah menandatangani pemain pertahanan dari Vietnam, Michal Nguyen.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerusi laman sesawangnya; www.redgiants.faselangor.my, hari ini.

Nguyen, 29, merupakan pemain kelahiran Republik Czech yang beraksi dengan pasukan kebangsaan Vietnam. Bapanya merupakan warga Vietnam manakala ibunya berasal dari Republik Czech.

“FAS mengucapkan selamat datang ke Selangor dan semoga Michal akan dapat bersama-sama menjadikan Selangor sebagai pasukan yang digeruni dan kebal di bahagian pertahanan,” jelas FAS.

Sementara itu Nguyen dalam video pendek yang dipaparkan di laman Facebook FAS, mendedahkan beliau gembira bermain dengan Selangor yang meraih pelbagai kejayaan dalam aksi bola sepak tempatan dan berharap dapat membantu skuad Red Giants untuk mengembalikan kegemilangannya.

“Ia adalah satu penghormatan dapat bermain untuk Selangor dan merupakan cabaran besar bagi saya,” katanya.

Nguyen memulakan karier bola sepak bersama tiga kelab di Republik Czech iaitu FK Litvinov (1998-1999), FK Teplice (1999-2001) dan FK Banit Most (2001-2014).

Beliau kemudiannya berkelana ke Vietnam dan mewakili kelab Becamex Binh Duong dari 2015 sehingga 2018 sebelum mewakili kelab Liga Satu Thailand, Air Force Central FC pada musim lepas.

Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan sebelum ini berjaya mendapatkan khidmat tiga pemain import iaitu Endrick dos Santos dari Brazil, Antonio Timothy German (Grenada) dan Taylor Regan dari Australia, selain bersetuju mengekalkan khidmat penjaring terbaik Liga Super 2018, Rufino Segovia del Burgo dari Sepanyol. - Bernama