Klang rekod 960 kes denggi bagi dua minggu pertama

Charles (tiga, kanan) menunjukkan risalah berkaitan denggi selepas hadir bertemu pegawai kesihatan daerah di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang di Bandar Botanik, hari ini. Turut kelihatan, Dr Masitah (tiga, kiri).
Charles (tiga, kanan) menunjukkan risalah berkaitan denggi selepas hadir bertemu pegawai kesihatan daerah di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang di Bandar Botanik, hari ini. Turut kelihatan, Dr Masitah (tiga, kiri).
A
A
A

KLANG - Sebanyak 960 kes denggi direkodkan di daerah ini pada dua minggu pertama tahun ini berbanding hanya 203 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, peningkatan itu amat membimbangkan dengan dua kematian dilaporkan berlaku di Flat Seri Bahtera di Armada Putra, Pulau Indah.

“Kes pertama melibatkan wanita berusia 39 tahun pada hujung Disember dan awal bulan ini melibatkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

“Pada tahun lalu, sebanyak 101 kes dilaporkan pada minggu pertama dan 102 kes pada minggu berbanding 413 kes pada minggu pertama dan 547 kes pada minggu kedua bagi tahun ini.

“Klang berada di tempat kedua mencatat kes denggi tertinggi di Selangor dan ini sesuatu yang serius serta perlu ditangani segera agar tidak menjadi lebih parah,” katanya ketika ditemui selepas hadir bertemu pegawai kesihatan daerah di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang di Bandar Botanik, di sini, hari ini.

Pihaknya menggesa agar daerah Klang diisytiharkan sebagai lokasi kecemasan untuk wabak denggi berikutan peningkatan kes yang tinggi sehingga melibatkan kematian.

“Semua pihak sama ada dari PKD Klang, Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta penduduk harus bekerjasama untuk membanteras wabak berkenaan dari terus menular.

“Difahamkan, keadaan akan lebih teruk dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang jika tiada tindakan pencegahan awal dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, saya akan mengadakan pertemuan dengan ketua agama, persatuan penduduk serta pengilang untuk meminta mereka mengambil tindakan sewajarnya dalam membanteras wabak denggi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah, PKD Klang, Dr Masitah Mohamed berkata, pihaknya akan melaksanakan konsep ‘mencari dan memusnahkan’ untuk mengatasi masalah tempat pembiakan nyamuk.

Katanya, tindakan lebih tegas akan diambil ke atas pemilik kediaman dan premis jika didapati membiak nyamuk aedes.

“Kompaun maksima RM500 akan dikenakan kepada pemilik kediaman dan premis yang didapati membiak nyamuk aedes dan tindakan mahkamah akan diambil untuk kesalahan berulang.

“Masyarakat juga digesa supaya mengambil tindakan dan bertanggungjawab dalam memastikan persekitaran kawasan mereka bersih serta membudayakan gaya hidup sihat,” katanya.

Katanya, terdapat kekangan seperti tidak dibenarkan masuk ke kawasan rumah setiap kali kakitangan PKD turun padang untuk memeriksa.

“Kami di PKD amat berharap agar orang ramai mengambil tindakan awal untuk mencegah seperti jangan biarkan bekas yang boleh menakung air hujan, pasu bunga dibersihkan dan lain-lain,” katanya.