Ada lagi penempatan warga asing bakal kena tindakan lanjutan

Tan Sri Annuar Musa - Foto Bernama
Tan Sri Annuar Musa - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan kementerian itu menjangkakan ada beberapa lagi penempatan warga asing di kawasan Wilayah Persekutuan yang bakal dikenakan tindakan lanjutan.

Annuar berkata, ia melibatkan perumahan didiami warga asing yang berisiko mempunyai jangkitan agak tinggi.

Menurutnya, ia berikutan pihaknya memandang serius apabila 44 daripada 153 kes baharu di seluruh negara kelmarin direkod di kawasan Wilayah Persekutuan sahaja.

“Kes di Wilayah Persekutuan agak banyak juga. Kita menjangkakan ada lagi beberapa penempatan sama ada kondominium atau unit rumah sewa didiami warga asing tetapi mempunyai risiko jangkitan yang agak tinggi akan dikenakan langkah lanjutan.

“Saya tahu bila tambah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kerja Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan dipengerusikan saya juga akan bertambah,” katanya pada sidang media disiarkan secara langsung di Facebooknya semalam.

Annuar berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) kini menggunakan kaedah baharu iaitu membandingkan jumlah kes berdasarkan kadar berlaku kepada setiap 100,000 penduduk.

Menurutnya, kawasan paling tinggi nisbah kes positif Covid-19 jika dibandingkan jumlah penduduk adalah Rembau, Negeri Sembilan iaitu 108 bagi 100,000 penduduk.

“Di Wilayah Persekutuan, nisbah kes di Lembah Pantai adalah 102 bagi 100,000 penduduk; Putrajaya 42 bagi 100,000 penduduk dan Kepong 23 bagi 100,000 penduduk.

Artikel Berkaitan:

“Kawasan yang melebihi 20 kes bagi tiap-tiap 100,000 penduduk ditakrif sebagai kawasan merah. KKM guna kaedah ini kerana jika hanya ambil angka ia tidak menggambarkan keadaan sebenar, ada tempat penduduk ramai dan ada yang sikit jumlahnya,” katanya.

Annuar berkata, sehingga semalam terdapat tujuh daripada 13 kawasan Parlimen yang merekod lebih 40 kes dan melepasi zon merah termasuk Seputeh, Bukit Bintang, Segambut, Putrajaya, Titiwangsa, Bandar Tun Razak dan Batu.

Beliau sebelum itu berkata, terdapat pegawai di kementeriannya disahkan positif Covid-19 menyebabkan ada pegawai kanan yang bertugas bersama beliau terpaksa dikuarantin.

“Suasana penuh mencabar, saya pun ada ditegur kenapa sering keluar, pergi ke tempat gelandangan, kenapa pergi Jalan Masjid India.

“Ada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi pesanan kepada saya minta jangan pergi mana-mana, duduk saja di rumah tapi apa nak buat sebagai menteri kita terpaksa bekerja, setiap pagi mesyuarat dan tinjau sesetengah kawasan kerana kalau tak pergi keadaannya tak sama,” katanya.