Hubungan Malaysia-Singapura kekal baik

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah semasa sidang media selepas menerima memorandum daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pro-Pembebasan Palestin di Wisma Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah semasa sidang media selepas menerima memorandum daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pro-Pembebasan Palestin di Wisma Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hubungan Malaysia-Singapura kekal baik meskipun memerlukan rundingan lanjut dalam beberapa perkara, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah hari ini.

“Hubungan kami dengan Singapura kekal baik. Terdapat beberapa isu tetapi kami saling berbincang, dan itu adalah penting.

“Paling penting, perbincangan masih berjalan. Saya yakin perbincangan kami berada di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita di Wisma Putra di sini selepas menerima memorandum daripada NGO untuk menyokong kebebasan Palestine.

Saifuddin berkata selain beliau, empat individu utama akan mengadakan perbincangan mengenai topik dan isu khusus dengan rakan sejawat mereka dari Singapura.

Mereka adalah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Peguam Negara Tommy Thomas dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Dilaporkan Mesyuarat ke-14 Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) antara Malaysia dan Singapura yang dijadualkan pada 14 Januari ditangguhkan.

Singapura mahu mesyuarat itu ditangguhkan kerana mendakwa Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian telah menceroboh perairan Singapura pada 9 Jan semasa melawat pelabuhan Johor Bahru. Osman menegaskan beliau tidak menceroboh perairan Singapura dan beliau hanya melihat pasukan keselamatan Malaysia melakukan tugas mereka.

Saifuddin berkata Malaysia dan Singapura akan berpendirian teguh dalam rundingan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Kami sentiasa menjaga kedaulatan dan kemerdekaan kami. Kami hanya perlu terus mengadakan rundingan dengan rakan Singapura kami,” katanya.

Walaupun penangguhan JMCIM, Saifuddin berkata, Mohamed Azmin meneruskan perbincangan mengenai isu dua hala yang lain dengan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan. - Bernama