Bazar Ramadan dalam talian untuk warga Senawang

Azlinie mengajak peniaga 'berniaga' di Bazar Ramadhan Online Senawang.
Azlinie mengajak peniaga 'berniaga' di Bazar Ramadhan Online Senawang.
A
A
A

SEREMBAN – Tidak mahu terus merenung nasib disebabkan perniagaan terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang peniaga di sini mengambil inisiatif mewujudkan laman Facebook ‘Bazar Ramadhan Online Senawang’.

Platform itu disediakan Nur Azlinie Wahid, 40, untuk peniaga menjual dan mempromosikan produk mereka secara percuma sebagai persediaan pada bulan Ramadan.

Menurutnya, langkah itu diambil selepas beberapa hari kerajaan negeri mengumumkan tiada penganjuran bazar Ramadan di Negeri Sembilan tahun ini.

“Ramai peniaga yang mengeluh dan merungut kerana risau tak dapat cari rezeki pada bulan Ramadan kerana berniaga itulah sumber pendapatan utama mereka.

“Saya yang berniaga produk air kesihatan ini mungkin tak terasa sangat, tapi bagaimana dengan peniaga makanan harian. Dari situ saya terfikir perlu ada satu platform yang membolehkan peniaga bazar Ramadan berniaga secara online, katanya kepada Sinar Harian.

Nur Azlinie berkata, peniaga perlu kreatif mengubah konsep perniagaan mereka sesuai dengan keadaan semasa dan berniaga secara dalam talian adalah caranya.

Katanya, dengan adanya platform seperti itu golongan peniaga sudah boleh mula menyusun strategi perniagaan termasuk menukar produk yang lebih bersesuaian ketika Ramadan.

“Jadi dari sekarang mereka dah boleh tukar ‘channel’ produk yang lebih sesuai. Kerajaan hanya kata tiada bazar Ramadan, tapi kita tetap boleh berniaga. Jadi kita buka bazar online dan orang ramai yang nak beli, kita boleh COD.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin ia sukar tak seperti berniaga di bazar Ramadan yang semua di depan mata, tapi daripada kita mengenang nasib langsung tidak dapat jana apa-apa pendapatan, lagi tidak beri apa-apa hasil,” katanya.

Selain itu katanya, melalui platform itu para peniaga juga boleh saling tukar pandangan dan pada masa sama boleh jana pendapatan melalui produk peniaga lain.

“Kalau ada yang rasa susah nak berniaga produk lain, boleh juga jadi ‘dropship’ produk peniaga lain. Sebagai peniaga kita perlu jadi kreatif... tak plan A, kita tukar plan B,” katanya.