Calon PH guna modal 'Ahli Majlis' untuk raih undi, kata BN Pahang

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Calon PH M Manogaran didakwa cuba meraih undi dengan melemparkan fitnah berhubung pelantikan Ahli Majlis bagi Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH).

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Manogaran menuduh pelantikan Ahli-ahli Majlis adalah atas dasar kroni dan bukan dalam kalangan orang tempatan adalah tidak benar.

“Jika beliau masih beria-ia cuba untuk menegakkan benang yang basah, nasihat kita... sila buktikan dakwaan itu.

“Hakikatnya pelantikan Ahli Majlis sudah semestinya dibuat dari dalam kalangan orang tempatan yang berada dalam Parlimen kawasan Cameron Highlands sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, kerajaan negeri sangat meneliti soal pelantikan Ahli Majlis dengan memastikan hanya mereka yang menetap dalam kawasan ini sahaja yang dipilih dan dilantik.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Calon PH dakwa MDCH lantik kroni? ]

Jelasnya, kerajaan negeri juga sangat mementingkan soal komposisi kaum dan jantina.

“Oleh itu, dalam kalangan Ahli-ahli Majlis terdapat Orang Asli, wanita, golongan muda serta wakil NGO,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan Manogaran berhubung isu kadar bayaran letak kereta mahal, Wan Rosdy berkata, bukan semua tempat letak kereta di Cameron Highlands dikenakan bayaran.

Jelasnya, hanya di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancong sahaja dikenakan bayaran tersebut seperti di Tanah Rata, Brinchang dan Kea Farm.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kawasan-kawasan penempatan penduduk seperti di Lembah Bertam, Ringlet, Habu, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja; tidak dikenakan bayaran letak kereta tersebut.

“Penetapan bayaran letak kereta itu sebenarnya termaktub dalam Jadual Pertama, Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (MDCH) 2016 yang mana bayaran atau caj ditetapkan ialah 60 sen setiap satu jam atau RM80 sebulan.

“Ekoran maklum balas orang sebelum ini, MDCH bersetuju untuk menyediakan kupon 30 sen bagi setiap setengah jam, demi memudahkan mereka khususnya yang berurusan menggunakan tempat letak kereta kurang daripada tempoh satu jam itu,” katanya.

Jelasnya, MDCH juga menawarkan diskaun 25 peratus ke atas mereka yang membayar untuk tempoh lebih daripada sebulan.

Wan Rosdy menambah, dalam melaksanakan kutipan bayaran tempat letak kereta ini, tempohnya ialah antara 8.00 pagi sehingga 6.00 petang dan dikenakan pada tiap-tiap hari termasuk cuti umum.

“Ini kerana Cameron Highlands sebagai sebuah kawasan tarikan pelancongan, maka MDCH perlu mengawal sistem tempat letak kereta supaya berjalan lancar.

“Dengan adanya kawalan, orang ramai tidak akan meletak kenderaan sesuka hati atau di kawasan-kawasan yang tidak dibenarkan, sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu kawalan ini secara tidak langsung membolehkan tiada yang meletak kenderaan persendirian terlalu lama terutama peniaga yang seolah-olah menjadikan tempat letak kereta ‘milik sendiri’ sehingga menyebabkan orang lain tidak dapat meletakkan kenderaan di situ.

Beliau menjelaskan, sejak diperkenalkan sistem parkir seperti ini pada 1 Oktober lalu, orang ramai khususnya pelancong mudah mendapat parkir.