Ditemui mati tertiarap dengan kesan cedera

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tertiarap dengan kesan kecederaan di kepala dan dada di tapak bangunan burung walit di Mersing, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai bersama dua lagi rakannya menceroboh masuk ke bangunan tersebut.

Menurutnya, penjaga bangunan berkenaan yang terserempak dengan ketiga-tiga individu dalam kejadian terbabit juga turut dicederakan.

"Penceroboh dapat melarikan diri namun tidak sampai 12 jam kejadian itu, pihak polis berjaya memberkas dua rakan suspek masing-masing berusia 35 tahun di Kampung Sri Pantai dan Kampung Teluk Iskandar, Mersing pada jam 3 petang semalam (kelmarin)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah.

Katanya, satu jam sebelum dua suspek itu ditahan, pihaknya menahan anak kepada penjaga bangunan tersebut semasa berada di hospital kerana disyaki terlibat dengan kejadian berkenaan.

Sementara itu beliau berkata, seramai 52 individu ditahan semalam kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjadikan jumlah kesemua tangkapan sejak 18 Mac lalu sebanyak 1,380 orang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seramai 417 individu sudah dikompaun bermula 8 April lalu hingga semalam, manakala 782 lagi sudah didakwa di mahkamah.